Ratusan sertai Himpunan Bantah Trump di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 hari ini mencetuskan bantahan besar-besaran daripada kumpulan pro-Palestin di ibu negara.

Ratusan peserta berhimpun di Dataran Merdeka dan kawasan Ampang Park bagi menyatakan penentangan terhadap sokongan Trump terhadap Israel dalam peperangan di Gaza.

Menurut laporan, pihak polis menjangkakan antara 1,000 hingga 1,500 peserta hadir ke himpunan berkenaan, namun jumlah sebenar dilihat lebih kecil dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara yang hadir ialah aktivis, pertubuhan masyarakat dan parti politik tempatan yang membawa sepanduk serta melaungkan slogan “Bebas Palestin”.

Seorang peserta, Asma Hanim Mahoud, berkata beliau sanggup datang sejauh 300 kilometer dari Kelantan untuk menyertai bantahan itu.

“Trump adalah penyokong utama pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Tanpa dia, Israel tidak mampu membunuh semua anak-anak dan rakyat di sana,” katanya dipetik Al Jazeera.

Sementara itu, pemimpin Parti Sosialis Malaysia, Choo Chon Kai, berkata kehadiran mereka adalah tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan penentangan terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang disifatkan bersifat penindasan.

“Kami ingin nyatakan pendirian menentang imperialisme AS serta berdiri bersama rakyat tertindas di seluruh dunia,” katanya.

Bantahan pada sebelah pagi dilaporkan dipindahkan oleh pihak berkuasa dari kawasan berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) lokasi sidang kemuncak berlangsung ke Dataran Merdeka.

Pada sebelah petang, sekumpulan peserta kembali berhimpun di kawasan asal berhampiran Ampang Park sebagai tanda protes terhadap kehadiran Trump di negara ini.

Trump berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri sidang kemuncak tersebut yang turut menyaksikan beliau menyelia perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand serta mengumumkan beberapa perjanjian perdagangan baharu. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - AP