Selangor FC bawa kes ke AIAC selepas rayuan ditolak FAM

SHAH ALAM – Selangor FC akan terus mempertahankan integriti kelab dan penyokongnya selepas Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan berhubung dakwaan salah laku pada aksi suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Oktober 2025.

Sebelum ini, Selangor FC menyerahkan apa yang disifatkan sebagai bukti kukuh dan tidak dapat disangkal kepada Jawatankuasa Rayuan FAM dalam usaha membatalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Bagaimanapun, pada 25 November 2025, Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan asal, satu tamparan hebat kepada cabaran Red Giants dalam kempen Piala FA.

Dengan penolakan rayuan itu, Selangor FC kini wajib membayar denda RM100,000 serta beraksi dua perlawanan Piala FA di laman sendiri tanpa penonton.

Hukuman tersebut berkuat kuasa serta-merta, bermula dengan Separuh Akhir Kedua menentang Sabah FC pada 30 November 2025, diikuti aksi pertama Piala FA musim depan di laman sendiri.

Keputusan itu menyaksikan Red Giants terpaksa memburu slot ke final tanpa sorakan penyokong, satu kekurangan besar bagi pasukan yang terkenal dengan sokongan kuat peminatnya.

Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Selangor FC mengesahkan akan mengemukakan kes kepada Asian International Arbitration Centre (AIAC) di Kuala Lumpur.

Langkah itu dibuat selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM, yang menetapkan AIAC sebagai satu-satunya badan timbang tara bebas yang diiktiraf FAM dalam urusan seperti ini.

Sebagai makluman, kes ini tidak boleh dibawa ke Court of Arbitration for Sport (CAS).

Selangor FC menegaskan tindakan membawa isu itu ke AIAC dilakukan demi mempertahankan kepentingan kelab, menuntut ketelusan dan menjaga hak semua pemegang taruh.

Dalam kenyataan tegasnya, kelab itu berkata:
“Selangor FC kekal komited untuk menegakkan integriti kelab dan memastikan kepentingan para pemegang taruh sentiasa dilindungi.”

Dengan aksi separuh akhir yang bakal berlangsung tanpa kehadiran penyokong, Red Giants kini berdepan dua cabaran serentak pertempuran di dalam mahkamah timbang tara dan perlawanan di atas padang. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - SFC