KUALA LUMPUR – Kes membabitkan produk kecantikan akhirnya selesai selepas tujuh bulan proses rundingan dan penyelarasan.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, wakil peguam kedua-dua pihak berjaya mencapai kata sepakat bagi menamatkan pertikaian berkenaan, sekali gus menutup kes tersebut secara rasmi.
“Sepanjang proses ini, kedua-dua pihak mengekalkan sikap rasional dan harmoni ketika berkomunikasi sehingga berjaya mencapai penyelesaian yang memuaskan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Michael Chong berkata, sejak kes itu dibangkitkan, pihak peguam tidak menerima sebarang laporan perubatan daripada pengadu yang mendakwa produk tersebut menyebabkan keguguran atau kerosakan kulit, sebagai asas tuntutan pampasan.
Sehubungan itu, syarikat terbabit bersetuju untuk memulangkan semula bayaran penuh kepada 20 pengadu yang terlibat, sebagai jalan penyelesaian terakhir.
“Kami menghargai keikhlasan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pihak syarikat serta kesabaran semua pengadu dalam tempoh proses penyelesaian ini.
"Hasilnya, kes ini akhirnya dapat ditutup dengan baik,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan lima produk kosmetik berbahaya, telah dilarang selepas ujian mendapati mengandungi bahan toksik. - DETIK MALAYSIA