KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Harimau Malaya, Ubaidullah Shamsul menyifatkan aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yemen sebagai peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan serta mengukuhkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan.
Ubaidullah berkata, barisan pertahanan negara yang dibarisi beberapa muka baharu tetap memiliki kualiti untuk memberikan saingan kepada pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi.
Menurutnya, setiap pemain yang diberi peluang menyarung jersi kebangsaan akan memberikan komitmen sepenuhnya tanpa mengira perubahan dalam senarai pemain.
“Setiap kali menyarung jersi kebangsaan, kami akan memberikan yang terbaik walaupun dibarisi kumpulan pemain berbeza.
“Ini peluang besar untuk saya dan pemain lain membuktikan kualiti yang dimiliki,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke China.
Malaysia dijadual menentang China pada 14 November sebelum bertemu Yemen pada 17 November ini dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.
Mengulas peluang berdepan China yang memiliki ranking lebih tinggi, pemain berkenaan percaya Harimau Malaya mampu memperoleh keputusan positif selain menjadikan dua perlawanan itu sebagai medan menimba pengalaman antarabangsa.
Katanya, aksi berkenaan juga penting untuk meningkatkan prestasi pemain baharu sebagai persiapan menghadapi tugasan kelayakan Piala Dunia akan datang.
Ubaidullah turut menepis kebimbangan mengenai keserasian benteng pertahanan susulan ketiadaan beberapa tonggak utama apabila menyifatkan pemain yang dipanggil sudah biasa dengan sistem pasukan kebangsaan.
“Tidak banyak perbezaan kerana pemain yang ada pernah bersama skuad kebangsaan sebelum ini. Keserasian pertahanan sudah wujud dan semuanya bergantung kepada bagaimana jurulatih menyusun kesebelasan utama.
“Saya yakin sesiapa sahaja yang diberikan peluang akan memberikan 100 peratus komitmen,” katanya.
Dalam pada itu, Ubaidullah meletakkan sasaran untuk mendapatkan minit permainan, menambah jumlah penampilan bersama Harimau Malaya dan membantu pasukan memenangi kedua-dua perlawanan.
“Secara peribadi, saya mahu mendapatkan peluang beraksi, menambah kaps bersama pasukan kebangsaan dan sudah tentu memenangi kedua-dua perlawanan ini, Insya-Allah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
