MADRID – Unionistas de Salamanca CF sah menamatkan kontrak pinjaman pemain tengah dari Argentina, Gabriel Palmero, selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman gantung setahun terhadap pemain tersebut.
Kelab itu dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, persetujuan bersama telah dicapai dengan CD Tenerife untuk menamatkan pinjaman berkenaan tanpa sebarang implikasi kewangan.
“Unionistas de Salamanca Football Club telah mencapai persetujuan dengan Club Deportivo Tenerife untuk menamatkan pinjaman pemain Gabriel Palmero susulan notifikasi diterima daripada FIFA pada 25 September lalu serta penolakan rayuan pemain pada 3 November,” jelas kenyataan itu.
Katanya, kelab turut merakamkan penghargaan kepada Palmero atas komitmen sepanjang bersama pasukan berkenaan.
Pemain berusia 23 tahun itu kini kembali ke CD Tenerife, namun masa depannya tidak menentu apabila penggantungan selama 12 bulan berkuat kuasa sehingga penghujung 2026, sekali gus menyekat penyertaannya dalam saingan kompetitif.
Hukuman terhadap Palmero berpunca daripada kes membabitkan tujuh pemain dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa melakukan pemalsuan dokumen berkaitan rekod kelayakan pemain.
Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman penggantungan serta denda yang dikenakan sebelum ini.
Di bawah keputusan itu, tujuh pemain terbabit; Rodrigo Holgado, Facundo Garcés, Jon Irazabal, João Figueiredo, Héctor Hevel, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero masing-masing digantung 12 bulan dan didenda 2,000 franc Switzerland, manakala FAM didenda 350,000 franc Switzerland (RM1.8 juta).
Susulan keputusan tersebut, FAM melahirkan rasa terkejut dan memohon penjelasan bertulis (motivated decision) daripada FIFA sebelum membuat rujukan undang-undang bagi kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Palmero yang menyertai Unionistas pada Julai lalu, sempat membuat beberapa penampilan awal musim dan dilihat sebagai salah satu tonggak baharu, namun penggantungan FIFA memaksa kariernya ‘terhenti’ serta-merta. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Unionistas CF