24 mangsa rugi lebih RM23 juta akibat skim GRR tidak berlesen

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan sebanyak 24 pemilik unit kerugian keseluruhan RM23,148,504.18 selepas didakwa diperdaya menyertai skim Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang ditawarkan sebuah syarikat hartanah tempatan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, organisasi itu menerima aduan daripada para pemilik unit hotel terlibat sejak Oktober lalu, menyatakan mereka dijanjikan pulangan sewa lumayan namun syarikat terbabit gagal menunaikan janji.

Menurut beliau, MHO yang ditubuhkan pada 2016 berperanan memperjuangkan hak kemanusiaan serta menyediakan bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman kepada mangsa penipuan serta isu sosial.

Hishamuddin berkata, skim GRR mula wujud sejak tahun 2000 dan popular kerana syarikat menawarkan pulangan tinggi antara 8 hingga 12 peratus setahun, jaminan pembelian semula unit hartanah serta pengurusan penuh tanpa campur tangan pembeli.

“Syarikat menggambarkan projek hartanah mereka sangat strategik dan mempunyai permintaan tinggi sehingga dapat menjana pulangan sewa berkali ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun katanya, hasil penelitian panel peguam MHO mendapati skim GRR tidak dikawal selia mana-mana agensi penguatkuasaan, sekali gus menjadikannya berisiko tinggi dan terdedah kepada penipuan.

MHO dimaklumkan bahawa setelah gagal membayar pulangan sewa yang dijanjikan, syarikat terbabit memperkenalkan skim baharu dikenali sebagai Pool Rental Return (PRR) di mana semua keuntungan sewa dikumpulkan dan diagihkan secara pro rata kepada pemilik unit.

“Pemilik yang tidak bersetuju dengan PRR dipaksa menguruskan sendiri unit rumah atau hotel mereka tanpa bantuan syarikat,” katanya.

Mangsa mendakwa, jika tiada janji pulangan sewa terjamin, mereka tidak akan membeli unit projek tersebut.

Selepas meneliti aduan dan fakta undang-undang, MHO percaya konsep pulangan sewa terjamin ditawarkan syarikat tersebut memenuhi ciri skim kepentingan seperti diperuntukkan bawah Seksyen 4(2), Akta Skim Kepentingan 2016.

Sehubungan itu, MHO menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit kerana menawarkan skim pelaburan hartanah tidak berlesen.

Menurut Hishamuddin, kes-kes sama pernah direkodkan sebelum ini termasuk seperti dilaporkan dalam artikel The Edge Malaysia pada 2009, yang mendedahkan pelabur gagal mendapatkan keadilan apabila kebanyakan syarikat GRR hanya berstatus “shell company”.

“Terdapat syarikat yang melarikan diri atau membuat voluntary winding up untuk mengelak tanggungjawab selepas mengutip jutaan ringgit pelabur,” katanya.

Susulan itu, MHO menyeru agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas bagi memastikan hak mangsa dilindungi dan mengelakkan lebih ramai rakyat terjerat skim pelaburan GRR yang tidak sah.

“Mangsa berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat terlibat selain memastikan langkah pencegahan berkesan supaya skim seperti ini tidak berulang,” katanya.

Foto kredit - Facebook Hishamuddin Hashim