TANJUNG MALIM – Seramai 27 pelajar terbaik kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 daripada 18 Universiti Awam (UA) menerima tajaan yuran pengajian bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan pendidikan, sebaliknya merupakan satu bentuk kepercayaan dan pelaburan terhadap potensi, bakat serta masa depan generasi muda negara.
Menurut beliau yang yang juga Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), seramai empat pelajar UPSI turut menerima tajaan berkenaan.
āKecemerlangan dalam STPM bukanlah noktah kepada sebuah perjalanan, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam membina ilmu, kepimpinan, inovasi dan jati diri,ā katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berharap para penerima tajaan berkenaan terus mengekalkan kecemerlangan, selain memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan.
Katanya, para penerima juga diharapkan dapat kembali menyumbang kepada masyarakat, agama dan negara pada masa hadapan.
āTahniah kepada semua penerima. Kecemerlangan anda hari ini adalah harapan negara untuk masa hadapan,ā katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
