KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) memperketat pelaksanaan Sistem Kamera Semakan Cabaran (Challenge Review Camera System) bagi memastikan pengadilan berlangsung lebih adil dan telus pada Sukan Asia ke-20, Aichi-Nagoya 2026.
Menurut ASTAF, sistem berkenaan akan terus digunakan sepanjang temasya yang berlangsung dari 20 September hingga 3 Oktober ini, dengan peraturan lebih ketat bagi memastikan penggunaannya dilaksanakan secara adil dan saksama.
“ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) kekal komited untuk memastikan setiap perlawanan sepaktakraw dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti, selaras dengan Undang-Undang Permainan Sepaktakraw serta standard pengadilan antarabangsa,” menurut kenyataan ASTAF yang dikeluarkan di Singapura hari ini.
Sistem Cabaran itu membolehkan aksi atau pergerakan pemain disemak menggunakan kamera berkelajuan bingkai tinggi (high-framerate cameras), sekali gus membantu pengadil membuat keputusan berdasarkan teknologi digital secara masa nyata.
ASTAF berkata, langkah berkenaan dijangka meningkatkan lagi kredibiliti pertandingan selain memastikan proses pengadilan berada pada tahap lebih telus dan berintegriti.

“Langkah ini juga dijangka dapat mengurangkan dengan ketara, malah jika boleh menghapuskan pertikaian selepas perlawanan serta persoalan terhadap keputusan pengadil,” menurut kenyataan itu.
Sepaktakraw akan menjadi antara sukan yang menawarkan pingat pada temasya berkenaan, dengan pertandingan berlangsung di Paloma Mizuho Stadium, Nagoya City Mizuho Park Gymnasium, Aichi, Jepun.
ASTAF berkata, ketepatan keputusan amat penting memandangkan sepaktakraw kini semakin berkembang dan diceburi lebih banyak negara.
Selain itu, liputan televisyen dan media sosial sepanjang Aichi-Nagoya 2026 dijangka menarik jutaan penonton dalam talian, sekali gus meletakkan sukan berkenaan di bawah perhatian lebih tinggi daripada peminat, penaja dan pihak berkepentingan.
Sehubungan itu, penggunaan teknologi berkenaan dilihat dapat meningkatkan ketelusan, ketepatan serta keyakinan terhadap keputusan pengadilan, selain memberi kepuasan kepada pasukan yang bertanding. – DETIK MALAYSIA
