MONZA – Kimi Antonelli mencuri tumpuan apabila mempamerkan aksi cemerlang di laman sendiri untuk muncul juara Grand Prix (GP) Itali 2026 di Litar Monza, semalam.
Pemandu Mercedes-AMG PETRONAS itu melengkapkan perlumbaan 53 pusingan sejauh 306.72 kilometer dengan catatan masa 1 jam 51 minit 15.281 saat.
Lebih manis buat pasukan Mercedes, George Russell menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk melengkapkan keputusan 1-2, manakala pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menduduki tempat ketiga.
Antonelli turut mencatatkan pusingan terpantas pada pusingan terakhir dengan masa 1 minit 23.504 saat.
Russell menamatkan perlumbaan 3.857 saat di belakang rakan sepasukannya, manakala Verstappen ketinggalan 14.718 saat daripada pendahulu.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa pasukan Ferrari apabila Charles Leclerc terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama.
Rakan sepasukannya, Lewis Hamilton pula berjaya membawa pulang lapan mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Pasukan BWT Alpine turut mencuri perhatian apabila kedua-dua pelumbanya berjaya mengutip mata, dengan Pierre Gasly di tempat ketujuh dan Franco Colapinto di kedudukan kesembilan.
Aston Martin pula berdepan hari mengecewakan apabila kedua-dua pelumbanya, Lance Stroll dan Fernando Alonso, gagal menamatkan perlumbaan.
Kemenangan di Monza turut mengukuhkan kedudukan Antonelli di puncak Kejuaraan Dunia Pemandu dengan 267 mata.
Russell kekal di tempat kedua dengan 201 mata, diikuti Hamilton (191), Lando Norris (171) dan Leclerc (155).
Dalam Kejuaraan Dunia Pengeluar, Mercedes-AMG PETRONAS terus unggul dengan 468 mata, diikuti Ferrari (346), McLaren (287) dan Red Bull Racing (204). – DETIK MALAYSIA
Keputusan 10 Teratas GP Itali 2026:
- Kimi Antonelli (Mercedes) – 25 mata
- George Russell (Mercedes) – 18 mata
- Max Verstappen (Red Bull) – 15 mata
- Lando Norris (McLaren) – 12 mata
- Oscar Piastri (McLaren) – 10 mata
- Lewis Hamilton (Ferrari) – 8 mata
- Pierre Gasly (Alpine) – 6 mata
- Arvid Lindblad (RB) – 4 mata
- Franco Colapinto (Alpine) – 2 mata
- Yuki Tsunoda (RB) – 1 mata
Kredit foto – AMG
