4,463 mangsa di Selangor masih berada di PPS

SHAH ALAM – Situasi banjir di negeri Selangor masih membimbangkan meskipun Jabatan Meteorologi telah menamatkan amaran hujan berterusan petang ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cuaca dijangka bertambah baik selepas hari ini, namun jumlah penduduk terkesan terus meningkat berikutan peralihan air dari utara Selangor ke kawasan Kuala Langat dan Sepang.

Beliau berkata, sehingga kini, 4,463 mangsa banjir ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"Bagi mempercepatkan aliran air ke sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah memasang empat pam di Kuala Selangor, manakala enam unit tambahan akan dipasang esok bagi mempercepatkan proses pemindahan air.

"Dalam kejadian lewat malam tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan mengenai sebuah kereta yang terperangkap banjir di kawasan Sepang berhampiran KLIA.

"Tiga mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri, namun seorang lagi mangsa seorang anggota polis Balai Polis Nilai masih hilang dan dikhuatiri lemas.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pihak bomba dan Polis Diraja Malaysia, dengan bantuan dua bot tambahan daripada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

"Kerajaan negeri akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk mengemas kini perkembangan SAR dan membantu sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, memandangkan cuaca yang sukar diramal, kerajaan negeri turut membekukan cuti semua pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan sehingga 15 Disember 2025 bagi memastikan kesiapsiagaan penuh menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri sedang menyusun 5,000 sukarelawan yang akan digerakkan dalam tempoh 24 jam selepas banjir surut untuk membantu proses pembersihan rumah mangsa.

Tambahnya, beliau merakam penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Unit Pengurusan Bencana Negeri, LUAS, JKM, JPS, JBPM, PDRM, pasukan sukarelawan serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terus bekerja tanpa henti sejak seminggu lalu. - DETIK MALAYSIA

Foto kredit - Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Langat