KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa ASEAN mengadakan sidang khas bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan yang kembali menjejaskan beberapa negara Asia Tenggara.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sidang itu perlu menghasilkan keputusan jelas yang disertai komitmen politik, mekanisme pelaksanaan serta pemantauan yang boleh diukur.
Menurutnya, jerebu yang berulang setiap kali musim kering tidak boleh terus dianggap sebagai fenomena bermusim kerana kesannya bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah kesihatan awam, keselamatan makanan, produktiviti ekonomi dan pendidikan anak-anak.
“Apabila pencemaran udara merentasi sempadan negara, ia menjadi ancaman kepada kesihatan awam dan hak masyarakat untuk menikmati udara bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 9 Oktober lalu, beberapa kawasan di Malaysia terpaksa mengambil langkah menutup sekolah susulan kemerosotan kualiti udara, manakala kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini terus menjadi antara punca utama pencemaran asap rentas sempadan.
Sehubungan itu, MAPIM mencadangkan sidang khas berkenaan melibatkan negara terjejas, negara yang menghadapi kebakaran hutan dan tanah gambut, agensi alam sekitar, pakar meteorologi, pihak berkuasa kesihatan serta wakil masyarakat sivil.
Katanya, keutamaan sidang itu perlu diberikan kepada usaha melindungi rakyat daripada pendedahan kepada udara tercemar, mempercepatkan pemadaman kebakaran dan memastikan bantuan rentas sempadan dapat disalurkan tanpa kelewatan birokrasi.
Selain itu, MAPIM menggesa ASEAN menyemak semula keberkesanan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan ASEAN (AATHP) yang ditandatangani pada 10 Jun 2002 dan berkuat kuasa pada 2003.
Menurutnya, semakan menyeluruh perlu dilakukan terhadap mekanisme tindak balas kecemasan, perkongsian maklumat, pengesanan awal titik panas, bantuan teknikal, pembiayaan dan akauntabiliti negara anggota.
“ASEAN juga perlu meneliti ruang untuk memperkukuh kerjasama undang-undang dan mekanisme tindakan apabila kegagalan mencegah kebakaran atau mengawal pencemaran menyebabkan kemudaratan serius kepada negara jiran,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan penyelesaian jangka panjang perlu bermula dengan tindakan terhadap punca kebakaran, termasuk pembakaran terbuka untuk pembersihan tanah, kebakaran tanah gambut dan kelemahan pengurusan guna tanah.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh terhadap pihak yang melakukan pembakaran secara menyalahi undang-undang, termasuk siasatan telus sekiranya terdapat petunjuk penglibatan syarikat, pemilik konsesi atau pihak yang mendapat manfaat daripada pembukaan tanah menggunakan kaedah pembakaran.
Pada masa sama, pekebun kecil dan komuniti setempat perlu diberikan bantuan teknikal, latihan serta alternatif pembukaan tanah yang lebih selamat bagi menggalakkan amalan pertanian mampan.
MAPIM turut menggesa ASEAN memperkukuh sistem pemantauan titik panas, kebakaran hutan, tanah gambut dan pergerakan asap secara masa nyata, selain mempercepatkan pengoperasian penuh Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Menurutnya, data berkaitan lokasi kebakaran, tahap pencemaran, tindakan pemadaman dan kemajuan siasatan perlu dikongsi dengan pantas antara negara anggota bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan.
Dalam usaha melindungi kesihatan rakyat, MAPIM berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, wanita hamil, pekerja luar serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kronik.
Kerajaan negara terjejas juga perlu memastikan maklumat kualiti udara disampaikan dengan tepat dan mudah difahami, selain menyediakan akses kepada rawatan, perlindungan pekerja terdedah serta garis panduan penutupan sekolah dan aktiviti luar berdasarkan penilaian risiko yang jelas.
MAPIM turut menggesa sasaran ASEAN Bebas Jerebu 2030 disokong dengan pelan pelaksanaan lebih tegas, pembiayaan mencukupi dan penilaian kemajuan yang terbuka kepada penelitian awam.
Bagi memastikan usaha itu dilaksanakan, MAPIM mencadangkan ASEAN mengadakan sidang khas atau mesyuarat tergempar dalam tempoh 30 hari, diikuti penyediaan pelan tindakan nasional dalam tempoh 90 hari.
Cadangan lain termasuk penerbitan penilaian jurang pelaksanaan AATHP dalam tempoh enam bulan, laporan pencapaian pengurangan kebakaran dan penguatkuasaan dalam tempoh 12 bulan serta laporan tahunan berasaskan data menjelang 2030.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia juga perlu menggunakan kedudukan diplomatiknya dalam ASEAN untuk mendesak sidang khas, menyokong semakan menyeluruh AATHP dan memimpin usaha membentuk mekanisme tindakan bersama yang lebih berkesan.
“Sudah tiba masanya ASEAN bergerak daripada komitmen kepada pelaksanaan, daripada perbincangan kepada tindakan dan daripada tindak balas bermusim kepada penyelesaian yang berkekalan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
