KUALA NERUS – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super 2026/27 selepas menewaskan Terengganu FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan meraih kemenangan keenam berturut-turut untuk mengumpul 18 mata daripada enam perlawanan.
JDT membuka jaringan menerusi Bergson pada minit ke-25 sebelum Oscar Arribas menggandakan kelebihan pasukan pelawat pada minit ke-42 hasil sepakan percuma pantas Jorge Medina.
Terengganu berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-64 selepas Gervane Kastaneer dijatuhkan di dalam kotak penalti, namun sepakan Mateus Gustavo berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
JDT terus menguasai permainan sebelum pemain gantian dari Iran, Shahab Zahedi, melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-88 menerusi hantaran Arif Aiman.
Keputusan itu menyaksikan Terengganu mengalami kekalahan kedua dalam saingan liga musim ini, manakala JDT kini mendahului Selangor dengan kelebihan tiga mata. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
