KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister puji karakter yang ditonjolkan barisan pemain terutamanya dalam waktu kritikal untuk menoktahkan kemenangan 3-2 ke atas Kuching City dalam aksi Liga Super, semalam.
Ia bukan pertembungan mudah apabila Kuching City mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan tentangan kepada tuan rumah, namun kerja keras yang ditampilkan DPMM FC terutamanya di babak kedua akhirnya membuahkan hasil untuk meraih 3 mata.
Pengendali dari Scotland itu menyifatkan kesemua pemain mengikut perancangan yang telah dibuat dalam sesi latihan terutamanya Dalberto Luan Belo yang telah banyak memberi impak menerusi dua jaringan berharganya.
“Saya rasa ia satu perlawanan yang cukup menarik, sebab inilah bola sepak, apabila berdepan pasukan yang berkualiti.
“Saya katakan kepada pemain selepas babak pertama yang mereka sekarang sedang berdepan lawan yang hebat, dan kita kena terus kerja keras untuk cuba balik di separuh masa kedua, terutamanya di waktu kritikal.
“Dan kita ketinggalan 1-2 selepas lima minit separuh masa kedua, tapi pemain saya tunjuk karakter terbaik untuk mengejar dan akhirnya kita dapat menambah dua lagi jaringan, saya berpuas hati dengan persembahan mereka,” jelasnya.
Dalam aksi yang lain, kemenangan yang diraih Melaka FC ke atas Kuala Lumpur City FC pada Sabtu lalu juga menjadi tumpuan selepas mereka berdepan tiga kekalahan sebelum ini sekaligus melonjakkan pasukan itu daripada tangga ke 10 tempoh hari ke kedudukan keenam Liga Super.
Menurut pengendali, E. Elavarasan, kemenangan 3-2 itu membuktikan pasukan ini semakin menemui keserasian dalam permainan untuk mereka terus memburu mata dalam aksi akan datang.
“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana selepas tiga kekalahan, saya rasa pemain-pemain memang layak mendapat kemenangan ini.
“Ia penting untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan mereka selepas melalui tempoh yang agak sukar dan kita memang perlukan tiga mata ini.
“Tapi kita kena tetap fokus, sebab selepas ini kita akan bermain di tempat lawan dan kita akan bersedia dengan lebih baik kali ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL
