KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Arab Saudi kekal sebagai tuan rumah Piala Asia 2027 seperti yang dijadualkan, namun keputusan muktamad sama ada kejohanan itu diteruskan atau ditangguhkan hanya akan diketahui November ini.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif AFC di Tokyo, Jepun pada 20 Oktober lalu, menurut laporan media Korea Selatan yang memetik Tencent dari China.
Mesyuarat itu turut membincangkan kemungkinan mencari tuan rumah alternatif, namun tempoh yang semakin singkat menyebabkan pilihan berkenaan sukar dilaksanakan.
Kejohanan berprestij bola sepak Asia itu dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027.
Jawatankuasa penganjur tempatan Arab Saudi memaklumkan persiapan kejohanan berjalan mengikut perancangan, termasuk kerja-kerja berkaitan stadium, kemudahan serta perkhidmatan sokongan.
Penyiar Arab Saudi, Al Ekhbariya melaporkan perlawanan pembukaan dijangka menemukan Arab Saudi dengan Palestin dalam Kumpulan A di Stadium King Fahd Sports City, Riyadh, manakala aksi final turut dijadual berlangsung di venue sama.
Bagaimanapun, kedudukan Arab Saudi sebagai tuan rumah mula menjadi persoalan susulan ketegangan keselamatan di rantau berkenaan.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dilaporkan menjadi sasaran serangan peluru berpandu pada 10 Oktober lalu, dipercayai dilakukan pemberontak Houthi dari Yaman, sebelum satu lagi objek tidak dikenal pasti mengenai terminal berkenaan pada hari berikutnya.
Laporan berkenaan mendakwa serangan itu mengorbankan 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang.
Gabungan diketuai Arab Saudi turut mendakwa lapangan terbang berkenaan berdepan sekurang-kurangnya 20 serangan dalam tempoh 11 hari, selain beberapa serangan terhadap lapangan terbang lain, kemudahan minyak dan pelabuhan.
Ancaman terhadap kilang penapisan minyak dan pangkalan udara serta tindakan balas Arab Saudi menimbulkan kebimbangan konflik lebih besar boleh tercetus di rantau itu.
Perkembangan berkenaan turut memberi kesan kepada acara sukan lain apabila kejohanan tenis Six Kings Slam dilaporkan dipindahkan dari Oktober kepada 27 hingga 30 Disember ini.
Perlawanan Liga Juara-Juara Elit AFC membabitkan Al-Nassr menentang Neftchi Fergana juga dilaporkan ditangguhkan selama sejam selepas peluru berpandu yang menuju ke Riyadh berjaya dipintas.
Dalam perkembangan sama, Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dilaporkan mengambil pendekatan lebih berhati-hati berhubung penganjuran Piala Asia 2027.
Dalam temu bual bersama France 24, beliau membayangkan kemungkinan kejohanan itu ditangguhkan, namun menegaskan AFC akan menunggu sehingga penghujung November sebelum membuat keputusan lanjut.
Beliau turut menyebut kemungkinan kejohanan ditangguhkan selama setahun, manakala laporan media menyatakan pilihan untuk mengalihkannya ke 2028 juga sedang dipertimbangkan.
Jawatankuasa Eksekutif khas AFC dijangka memuktamadkan pendirian sama ada kejohanan diteruskan mengikut jadual atau ditangguhkan pada mesyuarat Lembaga AFC di Bangkok, Thailand, November ini.
Buat masa ini, jawatankuasa penganjur Arab Saudi menegaskan persiapan masih berjalan seperti dirancang, termasuk penyediaan stadium, kemudahan sokongan dan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman terbaik kepada pasukan bertanding. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC
