BURIRAM – Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi daripada pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia menerima denda dan penalti Long Lap selepas didapati melakukan kesalahan ketika saingan kelas ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Buriram, Thailand.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Race Direction semalam, Zaqhwan yang menunggang motosikal nombor 21 didapati melanggar Artikel 1.21.2.3 peraturan kejohanan berkaitan tingkah laku pelumba di atas litar.
Insiden itu berlaku pada pusingan terakhir perlumbaan Race 2 di selekoh 9, apabila Zaqhwan bertembung dengan rakan senegara, Hafizh Syahrin, ketika kedua-duanya berebut kedudukan pendahulu.
Perlanggaran tersebut menyebabkan Hafizh terbabas ke kawasan gravel, namun kedua-duanya sempat bangkit semula dan menamatkan perlumbaan.
Hasil siasatan mendapati tindakan Zaqhwan melanggar etika perlumbaan dan beliau dikenakan denda sebanyak USD500 (sekitar RM2,400) selain perlu menjalani penalti Long Lap dalam perlumbaan seterusnya.
Artikel 1.21.2.3 menegaskan setiap pelumba wajib mengekalkan disiplin dan keselamatan semasa perlumbaan bagi mengelak sebarang risiko kepada pelumba lain. Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda, penyingkiran perlumbaan, atau penalti tambahan seperti Long Lap atau Ride Through.
Pihak Race Direction turut menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah muktamad serta menekankan pentingnya menjaga tahap disiplin dan keselamatan tinggi sepanjang kejohanan berlangsung. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - ARRC