MELAKA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan jentera parti di Jasin bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan pertemuannya bersama keluarga besar UMNO Bahagian Jasin malam tadi.
Beliau berkata, semangat ditunjukkan jentera parti termasuk Wanita, Pemuda, Puteri serta pimpinan bahagian mencerminkan kesepaduan antara pemimpin lama dan generasi baharu.
“Apabila yang muda menghormati yang lama dan yang lama menyayangi yang muda, insya-Allah perjuangan itu akan terus hidup,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, seluruh jentera perlu menyusun gerak kerja dengan baik, merapatkan saf dan terus mendekati akar umbi bagi mendapatkan sokongan rakyat di Jasin.
Katanya, kemenangan memerlukan usaha keras dan tidak akan diperoleh tanpa kerja kuat seluruh jentera parti.
Ahmad Zahid turut menyeru jentera Barisan Nasional (BN) di Melaka supaya bergerak dengan satu tekad bagi menghadapi PRN negeri itu.
“Johor sudah kita lihat. Negeri Sembilan sudah kita lalui. Insya-Allah, kini kita bawa Gelombang Biru ke Melaka.
“Mana lagi? Melaka ler!” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Zahid Hamidi
