CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai agar tidak menularkan sebarang gambar atau video berkaitan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor semalam.
MCMC dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain menekankan kepentingan untuk semua pihak bertindak dengan penuh tanggungjawab dan beretika dalam mengendalikan bahan berkaitan kejadian berkenaan.
“MCMC menggesa semua pihak agar tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan termasuk gambar atau video yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian,” katanya.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan individu yang telah memuat naik kandungan sedemikian supaya segera memadamkan hantaran berkenaan bagi menghormati privasi dan maruah keluarga mangsa.
“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, malah boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
MCMC turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kandungan tidak wajar itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.
Tambahnya, kerjasama dan tanggungjawab bersama masyarakat amat penting bagi memastikan sensitiviti serta kebajikan semua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut terus terpelihara. - DETIK MALAYSIA