KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung dakwaan penipuan melibatkan skim pelaburan Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang dipercayai digunakan untuk memperdaya pembeli hartanah.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada sejumlah individu yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan GRR dengan janji pulangan sewa tetap selepas projek hartanah siap.
“Seramai 69 pemilik unit terlibat dengan jumlah keseluruhan harga pembelian mencecah RM43.74 juta. Berdasarkan maklumat yang kami terima, ramai daripada mereka dimanipulasi untuk membeli unit-unit berkenaan selepas dijanjikan pulangan sewa lumayan antara 8 hingga 12 peratus setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MHO difahamkan bahawa terma berhubung GRR tidak dimasukkan dalam sebarang perjanjian yang ditandatangani oleh peserta, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap ketelusan syarikat terbabit.
“Apabila mangsa menyoal pihak syarikat, jawapan yang diberikan hanya berbentuk umum tanpa sebarang pengesahan sahih. Hal ini menambah kebimbangan terhadap kesahihan skim pelaburan tersebut,” jelasnya.
Tambah Hishamuddin, berdasarkan hasil semakan bersama panel peguam MHO, skim pelaburan GRR tidak dikawalselia oleh mana-mana agensi penguatkuasaan, menjadikan ia berisiko tinggi dan berpotensi menjerat pelabur yang tidak mengetahui peraturan sebenar.
“MHO juga dimaklumkan bahawa para mangsa telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak awal September lalu, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas atau perkembangan lanjut,” ujarnya.
Beliau menegaskan, penyerahan aduan kepada Bank Negara Malaysia hari ini merupakan langkah susulan bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan melibatkan semua agensi berkaitan.
“Tindakan ini bukan untuk menyulitkan mana-mana pihak berkuasa, sebaliknya bagi memohon perlindungan dan menegakkan keadilan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Hishamuddin turut menegaskan bahawa skim pelaburan GRR bukanlah isu baharu, malah pernah dibincangkan dalam laporan The Edge Malaysia pada tahun 2009 yang mendedahkan kewujudan syarikat-syarikat “kosong” atau shell company yang menggunakan konsep sama untuk mengaut keuntungan sebelum melarikan diri daripada tanggungjawab.
“Sesetengah syarikat ini turut melakukan proses ‘voluntary winding up’ (penggulungan sukarela) bagi mengelak daripada disiasat selepas mangsa membuat tuntutan,” tambahnya.
Sehubungan itu, MHO menyeru agar semua agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menawarkan skim GRR secara tidak sah serta memastikan hak pengguna dilindungi daripada penipuan pelaburan hartanah.
“Harapan kami, siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan langkah pencegahan dirangka bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa pada masa hadapan,” katanya. - DETIK MALAYSIA