PETALING JAYA – Kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang aktif sejak beberapa minggu lalu akhirnya terbongkar selepas polis menahan tiga individu termasuk dua wanita dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Putrajaya, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya susulan laporan kes curi kabel yang dibuat pada 17 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang memiliki 16 rekod lampau dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan Toyota Hilux milik suspek menemui beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri kabel serta dikaitkan dengan laporan kes di Kajang mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK).
“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek turut membawa kepada penahanan dua wanita yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan di Tapah mengikut Seksyen 384 KK,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketika serbuan dijalankan, beberapa lagi suspek sempat melarikan diri dengan menaiki dua kenderaan jenis Proton X50 dan Perodua Ativa.
Bagaimanapun, polis berjaya mengesan semula Proton X50 tersebut yang ditinggalkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, dan hasil pemeriksaan menemukan lebih banyak barangan kes berkaitan curi kabel.
Sementara itu, kenderaan jenis Perodua Ativa yang dinaiki dua suspek lain berjaya dikesan berhampiran Pusat Rekreasi Sungai Tekala, Semenyih, sebelum kedua-duanya ditahan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu turut menemui peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel,” jelasnya.
Menurut beliau, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan, dan usaha mengesan saki-baki suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. - DETIK MALAYSIA