KUALA LUMPUR – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menggesa supaya kadar gaji minimum khusus untuk industri media tempatan diperkenalkan bagi menjamin kebajikan serta masa depan pengamal media di negara ini, terutama wartawan sambilan.
GKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum isu gaji rendah yang dihadapi segelintir pengamal media seperti dibangkitkan Persatuan Wartawan Sabah (SJA), baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, GKMM turut menyambut baik keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendengar sendiri keluhan pengamal media ketika menghadiri satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah.
“Sudah tiba masanya kadar gaji minimum yang lebih khusus diwujudkan untuk industri media tempatan bagi meningkatkan standard profesionalisme kewartawanan serta memastikan kebajikan pengamalnya terus terpelihara.
“Cadangan ini juga boleh dijadikan penanda aras baharu kepada mana-mana syarikat media yang berhasrat menggaji wartawan sambilan atau pengamal media baharu,” katanya.
Jelas kenyataan itu, isu berkaitan kadar gaji rendah pengamal media akan dibawa ke mesyuarat Majlis Media Malaysia (MMM) dalam masa terdekat.
Pendekatan itu dilakukan bagi meneliti cadangan pengenalan kadar gaji minimum khusus untuk pengamal media selain membuka ruang sesi libat urus bersama syarikat serta agensi media.
“GKMM sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan pengamal media termasuk wartawan sambilan agar aspek perlindungan dan kesejahteraan terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan,” jelas kenyataan itu. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Janaan AI