SHAH ALAM - Jumlah wartawan yang terkorban di Gaza kini meningkat kepada 260 orang, sekali gus mencatatkan antara tempoh paling gelap dalam sejarah kewartawanan dunia, susulan pembunuhan tiga lagi pengamal media Palestin baru-baru ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Raouf Samir Shaat, Mohammed Salah Qashta dan Anas Abdullah Ghanim, yang menurut Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), dibunuh secara disengajakan dan disasarkan oleh rejim Zionis Israel.
Mapim menegaskan, kematian wartawan terbabit bukan insiden rawak atau kerosakan sampingan peperangan, sebaliknya satu kempen sistematik untuk membungkam suara kebenaran di Gaza.
“Wartawan Palestin diburu kerana mereka enggan berdiam diri. Mereka melaporkan jenayah perang, merakam penderitaan rakyat dan membawa suara mangsa ke mata dunia,” menurut kenyataan Mapim.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata serangan terhadap wartawan bukan sahaja melibatkan Palestin, malah merupakan ancaman langsung terhadap kebebasan media global.
Beliau menegaskan bahawa pembunuhan wartawan merupakan jenayah perang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain mencabul kebebasan bersuara dan hak masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan maklumat.
Mapim meletakkan reÂjim pendudukan Israel sebagai pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya, selain menegaskan negara-negara yang membekal senjata, dana dan perlindungan politik kepada Israel turut dianggap bersubahat.
“Dalam situasi ini, berdiam diri bukan lagi bersifat neutral. Diam bermaksud kerjasama,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menggesa komuniti media antarabangsa termasuk Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Persekutuan Wartawan Arab, UNESCO, Committee to Protect Journalists (CPJ) dan Reporters Without Borders (RSF) supaya mengambil pendirian moral yang jelas.
Menurut Mapim, kenyataan simpati dan ucapan takziah semata-mata tidak lagi mencukupi tanpa tindakan konkrit bagi melindungi wartawan yang masih bertugas di Gaza.
Antara tuntutan utama yang dikemukakan termasuk penubuhan mekanisme perlindungan antarabangsa untuk wartawan, pelaksanaan siasatan bebas antarabangsa terhadap pembunuhan media Palestin serta pendakwaan pemimpin politik dan tentera Israel di mahkamah antarabangsa.
Mapim turut menggesa supaya tekanan diplomatik dan sekatan dikenakan terhadap mana-mana negara yang terus menyokong kekejaman tersebut.
“Wartawan bukan tentera. Kamera bukan senjata. Kebenaran bukan ancaman, kecuali kepada golongan zalim,” menurut kenyataan itu.
Mapim memberi amaran bahawa sekiranya pembunuhan ratusan wartawan boleh berlaku tanpa sebarang tindakan tegas masyarakat antarabangsa, maka kewartawanan dunia berdepan risiko untuk terkubur bersama runtuhan Gaza.
Dalam masa sama, Mapim menzahirkan penghormatan kepada keberanian wartawan Palestin yang terus menjalankan tugas walaupun berdepan pengeboman, kebuluran dan ancaman nyawa setiap hari.
“Mereka bukan sekadar penyampai berita, tetapi suara hati nurani kemanusiaan sejagat,” katanya.
Mapim turut mendoakan agar semua wartawan yang terkorban dikurniakan rahmat dan kemuliaan di sisi Allah SWT, selain berharap pengorbanan mereka menjadi kebangkitan kepada dunia yang terlalu lama membisu.
“Sejarah tidak akan menilai siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang berani bersuara ketika kebenaran diuji,” ujar kenyataan itu. - DETIK MALAYSIA
Kredit foto - JANAAN AI