KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik ketegasan Perdana Menteri yang memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk menyatakan kesediaan sebenar mereka dalam memikul amanah dan tanggungjawab.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tindakan tersebut merupakan mesej jelas bahawa jawatan dalam agensi penguat kuasa bukan tempat berlindung, sebaliknya medan ujian integriti, keberanian dan ketegasan.
Menurut beliau, dalam konteks memerangi rasuah dan salah guna kuasa, tiada ruang untuk pemimpin yang ragu-ragu, takut tekanan atau terikat dengan kepentingan lain.
“Jika amanah dirasakan terlalu berat, langkah paling berintegriti ialah berundur secara terhormat, bukan terus memegang kuasa tetapi gagal bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, ketegasan itu perlu disusuli dengan tindakan konsisten termasuk penilaian prestasi berasaskan keberanian membuat keputusan, rekod penguatkuasaan sebenar serta kebebasan daripada campur tangan politik atau kepentingan peribadi.
Beliau menegaskan bahawa tanpa tindakan susulan yang tegas, arahan berkenaan berisiko menjadi sekadar amaran lisan.
Tambahnya, MCW percaya reformasi penguatkuasaan hanya akan berjaya sekiranya negara dipimpin oleh individu yang sanggup kehilangan jawatan demi mempertahankan amanah, bukan mempertahankan jawatan dengan mengorbankan integriti.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa bagi mengesahkan kesediaan mereka untuk terus memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dilaporkan berkata kesediaan itu boleh disampaikan terus kepada beliau, menteri berkaitan atau ketua jabatan masing-masing. – DETIK MALAYSIA