KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua pihak menghentikan polemik politik berhubung lanjutan perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi memastikan kelangsungan agenda antirasuah negara.
Presidennya, Jais ABdul Karim berkata, MCW memandang serius cubaan segelintir ahli politik termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang mempertikaikan keputusan berkenaan.
Menurut beliau, pelantikan serta lanjutan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah sah di sisi undang-undang dan dibuat selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009.
“Selagi peruntukan ini wujud dan dipatuhi, cubaan membingkaikannya sebagai krisis integriti adalah retorik politik yang mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, sekiranya reformasi institusi benar-benar menjadi keutamaan, semua pihak wajar menghormati undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan bukan memutar naratif mengikut kepentingan politik.
Mengulas isu kesihatan dan keupayaan, beliau menegaskan bahawa keadaan Tan Sri Azam Baki berada pada tahap amat baik, stabil serta masih berupaya memikul tanggungjawab besar menerajui SPRM.
“Mengheret isu umur atau tempoh perkhidmatan tanpa menilai keupayaan sebenar adalah tidak jujur dan berniat songsang,” katanya.
Beliau berkata, SPRM ketika ini berada dalam fasa penguatkuasaan agresif serta proses pemantapan dalaman yang menyentuh kepentingan besar termasuk tokoh politik, penjawat awam kanan dan struktur kuasa yang sebelum ini dianggap kebal.
“Dalam keadaan sebegini, menimbulkan polemik kepimpinan adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana ia melemahkan moral pegawai penguat kuasa selain mengganggu kesinambungan siasatan serta strategi sedia ada,” katanya.
Jais menegaskan tiada pasukan yang wajar menukar kepimpinan ketika usaha membanteras rasuah sedang berada pada tahap kritikal.
Menurutnya, tekanan politik terhadap SPRM melalui polemik lanjutan kontrak memberi mesej berbahaya bahawa kepimpinan institusi penguat kuasa boleh digugat melalui tekanan politik.
“Ini bukan reformasi, sebaliknya cubaan melemahkan institusi penguat kuasa secara halus,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya lanjutan perkhidmatan Azam Baki mencerminkan ketiadaan pelapis dalam SPRM.
“Hujah itu adalah alasan kosong kerana pembinaan pelapis tidak memerlukan pengorbanan kestabilan kepimpinan yang sedang berfungsi dan menghasilkan kesan nyata,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menegaskan pendirian menyokong sepenuhnya pengekalan Tan Sri Azam Baki berdasarkan peruntukan undang-undang, keupayaan semasa, kestabilan institusi serta keperluan kritikal negara.
“Agenda membanteras rasuah bukan pentas permainan persepsi. Ia memerlukan ketegasan, kesinambungan dan keberanian untuk membiarkan penguat kuasa menjalankan tugas tanpa gangguan politik,” katanya. – DETIK MALAYSIA