SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel merobohkan fasiliti Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis yang diduduki, menyifatkannya sebagai pengisytiharan perang terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan itu merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa kerana premis, kakitangan dan harta PBB dilindungi serta tidak boleh dicabuli.
Menurut beliau, tentera Israel didakwa telah memutuskan bekalan air dan elektrik sebelum menceroboh masuk ke perkarangan UNRWA di Sheikh Jarrah, seterusnya melakukan kerja-kerja perobohan di bawah perlindungan polis.
“Penurunan bendera PBB dan penggantiannya bukan sekadar simbolik, tetapi satu penghinaan terbuka terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, insiden itu bukan kes terpencil, sebaliknya sebahagian daripada kempen sistematik untuk merungkai mekanisme perlindungan pelarian Palestin, memadam identiti serta sejarah mereka, dan menyingkirkan saksi antarabangsa terhadap pendudukan serta apartheid.
“Apabila Israel menyerang UNRWA, mereka bukan sekadar menyerang sebuah bangunan, tetapi menyerang hak untuk kembali, hak pendidikan dan maruah rakyat Palestin,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI