SEPANG – Deruman enjin MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang dijangka terus bergema sehingga awal dekad akan datang apabila kontrak penganjuran Grand Prix Malaysia hampir dimuktamadkan untuk tempoh lima tahun lagi.
Kontrak sedia ada akan berakhir pada penghujung musim 2026, namun Ketua Pegawai Sukan Dorna Sports, Carlos Ezpeleta yakin perjanjian baharu bakal dimeterai dalam masa terdekat.
Menurutnya, rundingan kini berada di ‘pusingan terakhir’ dan hanya menunggu kelulusan rasmi daripada Jemaah Menteri Malaysia.
Bercakap pada pelancaran musim MotoGP 2026 di Menara Berkembar Petronas baru-baru ini, Ezpeleta menepis kebimbangan bahawa Malaysia mungkin tercicir daripada kalendar perlumbaan dunia itu.
“Perbincangan berjalan lancar dan hampir selesai. Kami sangat optimis MotoGP akan kekal di Malaysia untuk lima tahun lagi. Kami hanya menunggu proses pemformalan,” katanya.
Sejak mula dianjurkan pada 1999, Petronas Grand Prix Malaysia menjadi salah satu perlumbaan utama dalam kalendar MotoGP, hanya tidak berlangsung pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.
Sebagai litar pelopor MotoGP di Asia Tenggara, Sepang mempunyai kedudukan istimewa di mata Dorna Sports.
Ezpeleta turut menegaskan bahawa peranan Sepang bukan sekadar sebagai lokasi perlumbaan tahunan, malah sudah menjadi Rumah Musim Sejuk MotoGP apabila kerap menjadi tuan rumah Shakedown dan Ujian Pra-Musim rasmi.
Tahun ini, hubungan tersebut semakin erat apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi musim MotoGP 2026 buat pertama kali dalam sejarah.
“Kami merancang untuk mengukuhkan kehadiran MotoGP di Sepang secara lebih berterusan sepanjang tahun,” tambahnya, membayangkan kerjasama lebih erat antara Dorna dan SIC pada masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MotoGP