SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapm) menegaskan arahan Perdana Menteri berhubung rumah ibadat yang dibina secara tidak sah tidak boleh ditafsir sebagai ‘lampu hijau’ untuk perobohan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai penegasan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata berkata, dalam negara berperlembagaan seperti Malaysia, hak beragama sememangnya dijamin, namun ia mesti selari dengan kerangka perundangan dan peraturan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata, istilah ‘haram’ merujuk kepada status undang-undang, bukannya isu perkauman, manakala penyelesaian yang lebih matang perlu dibuat melalui rundingan, penilaian kes demi kes serta pemutihan status atau penempatan semula secara berperikemanusiaan.
“Keharmonian jangka panjang hanya terpelihara apabila undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa tekanan sentimen kaum atau agama,” katanya sambil menambah bahawa negara tidak boleh ditadbir berdasarkan ugutan emosi, tetapi melalui keadilan, kebijaksanaan dan komunikasi yang jelas.
Terdahulu, media melaporkan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata penarikan balik arahan itu perlu bagi mengelakkan kebencian kaum dan agama daripada terus merebak, sama ada melalui sokongan kerajaan secara nyata mahupun tersirat.
Sementara itu, Anwar Ibrahim dilapor mengambil pendirian tegas dalam pertikaian berterusan mengenai rumah ibadat haram, dengan menekankan bahawa semua tindakan mesti mematuhi kedaulatan undang-undang.
Beliau mengkritik keras kedua-dua pihak mereka yang mengambil tindakan sendiri dan mereka yang mewajarkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar syarat undang-undang.
Sambil menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak untuk mengamalkan agama, Anwar menekankan bahawa ini tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk membenarkan pembinaan rumah ibadat di luar batasan undang-undang. – DETIK MALAYSIA