SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi United Kingdom yang mengisytiharkan larangan kerajaan terhadap kumpulan kempen Palestine Action sebagai tidak sah di sisi undang-undang disifatkan sebagai satu peringatan besar kepada negara-negara demokrasi di seluruh dunia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamidberkata, keputusan itu bukan sekadar isu teknikal perundangan, sebaliknya menyentuh prinsip asas kebebasan bersuara dan had kuasa kerajaan.
“Yang diuji dalam kes ini bukan hanya status sebuah kumpulan aktivis, tetapi sempadan antara ekspresi politik yang sah dengan kuasa negara.
“Apabila kerajaan mula mengklasifikasikan aktivisme sivil sebagai keganasan, ketika itulah demokrasi sedang melangkah ke wilayah yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penggunaan rangka kerja anti-keganasan untuk mengawal aktivisme politik perlu dilihat secara berhati-hati agar tidak disalahgunakan.
“Melindungi rakyat daripada keganasan adalah tanggungjawab sah negara. Namun peluasan tafsiran undang-undang tersebut boleh menukar instrumen luar biasa menjadi alat kawalan politik.
“Meletakkan kumpulan kempen sivil dalam kategori sama dengan organisasi bersenjata bukan sahaja memberi kesan undang-undang, malah menghantar mesej bahawa aktivisme boleh dijenayahkan apabila ia menjadi tidak selesa kepada pemerintah,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, sejarah membuktikan banyak gerakan keadilan pernah dilabel berbahaya sebelum akhirnya diiktiraf sebagai perjuangan yang sah.
“Daripada gerakan anti-penjajahan hingga kempen hak sivil, aktivis sering dituduh menggugat keselamatan. Namun hari ini, gerakan tersebut diraikan sebagai pencapaian besar dalam sejarah kemanusiaan.
“Isu Palestin kini berada dalam ruang moral yang sama. Jutaan masyarakat dunia melihat solidariti terhadap Palestin sebagai isu hak asasi manusia, bukan agenda politik sempit,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara paling bermakna apabila ia melindungi pandangan yang tidak popular atau kontroversi.
“Jika hanya pandangan yang selamat dilindungi, maka kebebasan itu menjadi simbolik. Demokrasi kehilangan autoriti moral apabila ia menekan solidariti aman, tetapi pada masa sama mendakwa mempertahankan hak asasi manusia,” katanya.
Tambah beliau, keputusan mahkamah tersebut juga menonjolkan peranan penting institusi kehakiman dalam memastikan kuasa eksekutif tidak melangkaui batas.
“Mahkamah bukan sekadar mentafsir undang-undang, tetapi bertindak sebagai benteng terhadap penyalahgunaan kuasa. Tanpa keseimbangan ini, undang-undang keselamatan boleh menjadi senjata fleksibel yang menghakis kebebasan sivil,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, keputusan tersebut wajar dilihat sebagai isyarat global bahawa advokasi dan protes aman mesti kekal dalam ruang perdebatan demokratik, bukan diklasifikasikan di bawah kerangka keselamatan luar biasa.
“Kekuatan sebenar demokrasi bukan diukur melalui bagaimana ia meraikan persetujuan, tetapi bagaimana ia mengurus perbezaan. Dalam konteks ini, keputusan tersebut adalah langkah penting kembali kepada prinsip,” katanya. – DETIK MALAYSIA