KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk hadir sekiranya demonstrasi #TangkapAzamBaki dianjurkan lagi bagi menuntut siasatan bebas terhadap Tan Sri Azam Baki.
Menurut beliau, beberapa aktivis anak muda telah bertemu dengannya pada pagi Jumaat lalu bagi mendapatkan pandangan sama ada beliau sanggup turun ke himpunan berkenaan.
“Saya kata insya-Allah saya boleh hadir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR yang mengambil pendirian tegas berhubung isu integriti membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mencadangkan supaya Bersih 2.0 mengetuai gabungan rakyat untuk menganjurkan demonstrasi.
Katanya, sekitar pukul 4 petang Jumaat, notis penganjuran dipaparkan oleh Bersih 2.0 yang memanjangkan penganjuran oleh gabungan NGO, kebanyakannya terdiri daripada anak muda, bagi menuntut siasatan bebas terhadap Azam.
“Alhamdulillah, dengan notis 24 jam sahaja dan ketika orang sudah mula bercuti, kehadiran itu baik,” ujarnya.
Rafizi berkata, himpunan itu mengingatkannya kepada siri demonstrasi #KitaLawan yang bermula pada Februari 2015 selepas Anwar Ibrahim kembali dipenjarakan.

Menurutnya, ketika itu suasana politik tidak memihak kepada pembangkang apabila Pakatan Rakyat berdepan perpecahan dan sokongan terhadap demonstrasi dianggap tidak meyakinkan.
“Kalau ada 10 orang pun, kita kena mulakan,” katanya merujuk keputusan untuk meneruskan himpunan #KitaLawan bagi membangkitkan isu 1MDB dan kepincangan pentadbiran kerajaan ketika itu.
Beliau mendakwa himpunan pertama hanya dihadiri kurang 50 orang dan beliau sendiri ditahan dua hari sebelum ia berlangsung. Namun, beberapa pemimpin muda ketika itu meneruskan penganjuran sehingga mendapat sambutan lebih besar pada Mac 2015.
Rafizi berkata, pengalaman tersebut menjadi teladan bahawa suara sekumpulan kecil rakyat, khususnya golongan muda, tidak harus dipandang rendah jika perjuangan mereka berlandaskan prinsip dan tanpa kepentingan peribadi.

“Lama-lama suara mereka akan disambut rakyat lain,” katanya.
Beliau menegaskan isu integriti melibatkan Azam Baki menepati ciri perjuangan yang wajar diberikan perhatian.
“Jumpa lagi di demonstrasi #TangkapAzamBaki, jika dianjurkan lagi. Tolong bagi notis awal sikit,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FB Rafizi Ramli