LONDON – Saat badai kecil mula menggoncang, sokongan padu menjadi senjata utama.
Itu yang dilaungkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika pasukannya berdepan detik mencabar dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
The Gunners masih gah di puncak dengan 58 mata daripada 27 perlawanan, namun rentak mereka sedikit goyah apabila hanya meraih dua kemenangan daripada tujuh aksi liga terakhir. Terbaharu, Arsenal sekadar seri menentang pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers, sekali gus mengundang tekanan baharu dalam perebutan takhta.
Situasi itu membuka ruang buat pencabar utama, Manchester City, yang kini hanya ketinggalan lima mata dan masih memiliki satu perlawanan dalam tangan. Jika skuad The Citizens berjaya menundukkan Newcastle United hujung minggu ini, jurang itu mampu mengecil kepada hanya dua mata.
Arteta tidak menafikan kekecewaan yang dirasai selepas keputusan hambar di laman Wolves, namun beliau mahu emosi itu diterjemahkan secara positif.
“Reaksi pertama adalah rasa sakit. Selepas itu, apa yang boleh saya lakukan untuk mengatasinya? Sekarang kami perlu membuktikannya di atas padang,” tegasnya.
Menurutnya, dalam bola sepak, kasih sayang penyokong sering hadir ketika pasukan menang, tetapi kesetiaan sebenar teruji saat keputusan tidak memihak.
“Saya pernah menjadi pemain. Cintailah saya ketika saya seri dan kalah. Mencintai ketika menang itu mudah. Anda perlu bersama pemain ketika mereka sangat memerlukan sokongan,” katanya.
Bagi Arteta, musim masih panjang dan perjalanan Arsenal belum selesai. Apa yang berlaku pada minggu ke-27 hanyalah satu bab kecil dalam naratif besar yang masih boleh ditulis semula.
“Apa yang penting adalah perlawanan seterusnya. Bagaimana kami bertindak balas dan bagaimana kami menentukan nasib kami sendiri mulai sekarang,” jelasnya lagi.
Cabaran berikutnya bukan calang-calang. Arsenal akan bertandang ke laman musuh tradisi, Tottenham Hotspur, dalam aksi derbi London yang dijangka panas awal pagi Isnin ini.
Andai berjaya bangkit, mesej Arteta jelas Arsenal bukan sekadar mahu dipuji ketika di puncak, tetapi didukung sepenuh hati saat diuji. – DETIK MALAYSIA