SHAH ALAM – Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid menegaskan tiada istilah tamak boleh dilemparkan kepada Faisal Halim (FH7) susulan kegagalan Selangor FC meraih kemenangan dalam perlawanan bertemu Melaka FC di Stadium Hang Jebat tempoh hari.
Menurut Mohd. Faizal yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut sebagai penyokong selain memiliki lesen jurulatih FAM/AFC, FH7 selaku pemain dan ketua pasukan bersama rakan sepasukan telah berusaha sehabis baik untuk menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan buat pasukan.
“Sebagai penyokong dan juga jurulatih berlesen, saya lihat FH7 dan rakan-rakannya sudah mencuba sebaik mungkin. Cuma gol tidak terhasil kerana faktor nasib yang tidak menyebelahi pasukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penyokong agar melihat kembali beberapa peluang yang dicipta pada separuh masa pertama, khususnya menerusi situasi sepakan set-piece dan hantaran lintang yang sepatutnya mampu menghasilkan jaringan.
“Namun, pergerakan penyerang kita sentiasa dikawal rapi oleh barisan pertahanan Melaka, menyebabkan peluang tersebut gagal diterjemahkan kepada gol,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal menyeru seluruh penyokong Selangor FC agar terus memberikan sokongan moral kepada pasukan memandangkan saingan liga masih berbaki enam perlawanan.
“Kita masih ada enam perlawanan lagi. Teruskan beri semangat kepada pemain supaya mereka dapat menghadiahkan kemenangan buat Selangor FC,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC