epa10000566 US Army staff prepare American military equipment transport, in the port of Gdynia, in Gdynia, Poland, 07 June 2022. The equipment will be shipped to USA for a technical inspection. EPA-EFE/ADAM WARZAWA POLAND OUT
SHAH ALAM – Sejak 2023, Amerika Syarikat dilaporkan telah meluluskan atau menyalurkan lebih AS$21 bilion (kira-kira RM98 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan berkaitan Israel dan keselamatan serantau.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan jumlah tersebut sebagai sesuatu yang amat besar dan wajar diperhalusi secara terbuka.
“AS$21 bilion bukan satu keputusan dasar yang kecil. Ia melibatkan dana awam, wang pembayar cukai dan pilihan yang dibuat atas nama rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika ramai rakyat Amerika berdepan peningkatan kos sara hidup, tekanan perumahan, hutang pendidikan, kos penjagaan kesihatan dan ketidaktentuan ekonomi, persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan negara secara semula jadi akan timbul.
Azmi menegaskan bahawa setiap kerajaan mempunyai hak kedaulatan untuk menentukan dasar luar masing-masing. Namun dalam sistem demokrasi, akauntabiliti menuntut ketelusan dan perbahasan awam berhubung bagaimana sumber negara diagihkan.
“Bantuan ketenteraan pada skala sebegini mempunyai implikasi geopolitik yang besar. Ia juga memberi kesan ekonomi domestik. Apabila sejumlah besar dana disalurkan kepada operasi ketenteraan luar negara, adalah wajar rakyat bertanya sama ada peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk infrastruktur, kesihatan, pendidikan atau kebajikan sosial di dalam negara sendiri,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa kenyataan tersebut bukan bertujuan menyerang mana-mana negara atau rakyatnya, sebaliknya menyentuh soal pilihan dasar dan keutamaan perbelanjaan.
Dalam mana-mana negara demokrasi, katanya, pembayar cukai berhak mempersoalkan bagaimana wang mereka dibelanjakan serta menilai sama ada peningkatan ketenteraan luar negara benar-benar menyumbang kepada keamanan jangka panjang atau sebaliknya memanjangkan ketidakstabilan.
Pada masa sama, Azmi turut mengingatkan agar perbincangan mengenai ekonomi Amerika Syarikat dilihat secara seimbang. Negara itu memang berdepan tekanan inflasi dan kebimbangan hutang, namun dalam tempoh tertentu turut menunjukkan pertumbuhan dan daya tahan ekonomi.
“Keadaannya kompleks, bukan naratif kejatuhan semata-mata,” katanya.
Tegas beliau, persoalan sebenar bukan sekadar berapa banyak yang dibelanjakan, tetapi dunia seperti apa yang ingin dibentuk melalui perbelanjaan tersebut.
“Apabila berbilion dolar dibelanjakan untuk peperangan, dunia merasai kesannya. Apabila berbilion dolar dilaburkan untuk keamanan, pendidikan dan pembinaan semula, seluruh umat manusia mendapat manfaat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – EPA