ISKANDAR PUTERI – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa kelab gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan dikenakan sebarang sekatan susulan kes kelayakan pemain warisan yang sedang disiasat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, isu berkenaan hanya melibatkan kelayakan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan dan tidak memberi kesan kepada penyertaan kelab dalam kejohanan di bawah AFC.
Katanya, badan induk bola sepak Asia itu telah menerima fail penuh kes daripada FIFA dan Jawatankuasa Tatatertib AFC sudah memulakan proses semakan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Kami sudah menerima fail penuh kes daripada FIFA dan Jawatankuasa Tatatertib telah memulakan proses bersama FAM,” katanya.
Menurut beliau, AFC tidak menunggu sepenuhnya dokumen daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk memulakan proses semakan kes tersebut.
Kontroversi berkenaan melibatkan tujuh pemain warisan yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA kerana isu dokumentasi berkaitan kelayakan mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Antara pemain yang terlibat termasuk tiga pemain yang kini beraksi bersama JDT iaitu João Figueiredo, Héctor Hevel dan Jon Irazabal.
Bagaimanapun, Windsor menegaskan bahawa penggantungan tersebut hanya melibatkan tugasan bersama pasukan kebangsaan dan tidak terpakai kepada pertandingan kelab.
“Perkara kelayakan hanya boleh diambil tindakan bagi perlawanan pasukan kebangsaan. Bagi pertandingan kelab di bawah AFC, ia tidak memberi sebarang kesan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejohanan kelab anjuran AFC tidak menetapkan syarat kewarganegaraan bagi pemain yang beraksi bersama kelab masing-masing.
Penjelasan itu memberi kelegaan kepada kelab-kelab Malaysia yang sedang bersaing di pentas serantau dan benua, khususnya JDT yang kini beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta pasukan negara yang terlibat dalam Kejohanan Kelab ASEAN. – DETIK MALAYSIA