KUALA LUMPUR – Konflik ketenteraan terhadap Iran dilihat semakin menyingkap kegagalan strategi untuk melemahkan atau menjatuhkan kepimpinan di Tehran walaupun serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel telah berlarutan lebih 40 hari.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penilaian perisikan Amerika sendiri menunjukkan kepimpinan Iran masih utuh dan tidak berada di ambang keruntuhan dalam masa terdekat.
Menurutnya, keadaan itu memberi gambaran bahawa perang tersebut setakat ini gagal menghasilkan kemenangan politik seperti yang digembar-gemburkan.
“Percanggahan antara dakwaan kemenangan dan keperluan untuk terus membiayai perang menunjukkan Washington sedang bercakap tentang penamatan, tetapi bertindak seolah-olah konflik ini baru memasuki fasa yang lebih berat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan Reuters turut menunjukkan kos perang yang ditanggung Amerika semakin meningkat apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menganggarkan kos dua hari pertama konflik mencecah AS$5.6 bilion (kira-kira RM26.3 bilion).
Katanya, laporan susulan Pentagon kepada anggota Kongres pula menyatakan kos enam hari pertama perang telah melebihi AS$11.3 bilion (sekitar RM53.1 bilion), manakala jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana sebahagian kos lain belum diambil kira sepenuhnya.
“Jika jumlah itu dipecahkan, kos perang menghampiri AS$1.88 bilion sehari (sekitar RM8.8 bilion), kira-kira AS$78 juta sejam (sekitar RM366 juta) dan lebih AS$21,000 sesaat (sekitar RM98,000).
“Ini menunjukkan berbilion dolar wang rakyat Amerika dibelanjakan dalam konflik yang matlamat akhirnya masih kabur,” jelasnya.
Tambah beliau, Pentagon juga dilaporkan sedang meneliti keperluan tambahan sekitar AS$50 bilion (kira-kira RM235 bilion) bagi menggantikan senjata yang digunakan serta menampung operasi seterusnya.
Dalam masa sama, katanya, konflik tersebut turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pangkalan dan aset ketenteraan Amerika di rantau Teluk termasuk di Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.
Menurutnya, laporan Reuters menyebut ancaman terhadap pangkalan Amerika dan infrastruktur kritikal di rantau itu semakin nyata apabila sebuah radar Amerika bernilai AS$1 bilion (sekitar RM4.7 bilion) dilaporkan dimusnahkan oleh misil Iran.
Mohd Azmi berkata, dari sudut politik perang, konflik itu juga tidak menunjukkan tanda bahawa pakatan Amerika-Israel akan memperoleh kemenangan strategik yang jelas.
“Jika matlamatnya menjatuhkan kepimpinan Iran, ia jelas gagal. Jika tujuannya mematahkan keupayaan tindak balas Iran atau memulihkan ‘deterrence’ Israel, perkara itu juga belum terbukti,” katanya.
Beliau menambah, keadaan itu berpotensi menyebabkan Israel muncul daripada konflik tersebut sebagai negara yang lebih rapuh secara strategik walaupun masih memiliki kekuatan ketenteraan dan sokongan Barat.
“Apabila perang gagal mencapai objektif politiknya, menelan kos berbilion dolar dan menghakis sumber ketenteraan, ia bukan tanda kemenangan, sebaliknya petanda konflik itu mula memakan tuannya sendiri,” katanya. – DETIK MALAYSIA