KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pihak berkuasa meneliti secara telus tawaran pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad pada harga RM3.15 sesaham yang didakwa jauh lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, penilaian bebas oleh penasihat menunjukkan nilai sebenar IJM berada dalam lingkungan RM5.84 hingga RM6.48 sesaham, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perbezaan harga yang besar.
Menurutnya, diskaun antara 46 hingga 52 peratus daripada nilai sebenar itu menimbulkan kebimbangan berkaitan aspek tadbir urus korporat, integriti proses penilaian serta perlindungan kepentingan pemegang saham.
“Dalam mana-mana transaksi korporat berskala besar yang melibatkan syarikat tersenarai awam, ketelusan dan keadilan kepada pemegang saham minoriti adalah prinsip asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya wujud pihak dalaman atau mana-mana individu yang cuba mempengaruhi keputusan korporat sehingga menyebabkan aset strategik dijual pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar, tindakan itu boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah pemegang saham dan pasaran modal negara.
Tambahnya, perkara itu lebih membimbangkan memandangkan IJM merupakan syarikat yang terlibat dalam pelbagai projek infrastruktur utama termasuk West Coast Expressway, selain projek lebuh raya dan pembangunan antarabangsa yang mempunyai potensi nilai jangka panjang yang besar.
Sehubungan itu, MCW menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia meneliti secara proaktif keseluruhan proses tawaran tersebut.
Menurut Jais, siasatan juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya wujud unsur conflict of interest, urus niaga orang dalam, manipulasi penilaian atau pengaruh tidak wajar dalam rundingan pengambilalihan itu.
“Pasaran modal Malaysia hanya akan terus diyakini pelabur sekiranya standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus korporat ditegakkan tanpa kompromi.
“Sebarang cubaan memperkayakan pihak tertentu melalui transaksi korporat yang merugikan pemegang saham mesti disiasat secara telus dan menyeluruh,” katanya.
Beliau menegaskan, integriti dalam dunia korporat adalah sama penting dengan integriti dalam sektor awam. – DETIK MALAYSIA