PETALING JAYA – Dua kanak-kanak ditemui dalam keadaan separa sedar selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah apartmen empat tingkat di Jalan 1 Emas, Taman Megah Emas di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.37 pagi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara bersama bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat tiga apartmen empat tingkat.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 50 peratus ruang tamu kediaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba menemui dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sekitar empat hingga enam tahun di dalam sebuah bilik dalam keadaan separa sedar.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Mangsa kemudian dihantar ke KPJ Damansara Specialist Hospital untuk rawatan lanjut menggunakan EMRS,” katanya.
Menurut Ahmad Mukhlis, operasi berjaya dikawal pada pukul 10.54 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JBPM Selangor