KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) memberi bayangan akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya keputusan akhir berkaitan kontroversi naturalisasi pemain Malaysia disifatkan tidak adil atau tidak telus.
Kes berprofil tinggi itu terus mencuri perhatian bola sepak Asia Tenggara ketika AFC masih belum mengumumkan keputusan muktamad meskipun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum ini telah membuat keputusan awal berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, CAS mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Malaysia yang didakwa menggunakan dokumentasi tidak sah dalam proses naturalisasi bagi melayakkan diri mewakili skuad kebangsaan.
Antara pemain yang terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Facundo Garces.
Berdasarkan keputusan tersebut, kesemua tujuh pemain berkenaan dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan antarabangsa rasmi, sekali gus berpotensi menjejaskan kekuatan skuad Harimau Malaya dalam beberapa kejohanan akan datang.
Dalam pada itu, ketika menunggu keputusan rasmi AFC, VFF menegaskan skuad Vietnam tetap memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut laporan media Vietnam, TheThao247, pihak pengurusan VFF menegaskan persiapan teknikal pasukan berjalan seperti biasa tanpa terjejas oleh kontroversi yang sedang berlaku.
Bagaimanapun, mereka mengakui keputusan akhir AFC berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan Kumpulan F bergantung kepada bentuk tindakan disiplin yang akan diambil.
Mengikut peraturan pertandingan sedia ada, sekiranya Malaysia didapati menurunkan pemain yang tidak layak, hukuman berat boleh dikenakan termasuk kekalahan percuma 0-3 dalam perlawanan yang membabitkan pemain tersebut, termasuk aksi menentang Vietnam dan Nepal.
Situasi itu boleh menyebabkan Malaysia kehilangan enam mata dalam Kumpulan F sekali gus mengubah persaingan kelayakan secara drastik.
Malah, dalam senario paling buruk, Malaysia juga berdepan kemungkinan dikenakan sekatan tambahan termasuk potensi disingkirkan daripada kejohanan masa depan seperti Piala Asia 2031. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Malaysia NT