AUSTIN – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli berdepan laluan mencabar dalam saingan Kejuaraan Dunia Moto3 apabila memulakan kempen pusingan ketiga musim 2026 dengan langkah sukar di Litar Americas, Amerika Syarikat, semalam.
Turun buat kali pertama di litar teknikal yang terkenal dengan selekoh mencabar serta perubahan ketinggian drastik itu, pelumba kelahiran Terengganu berkenaan tetap mempamerkan potensi, namun perlu mengakui jurang besar berbanding pelumba elit dunia.
Dalam sesi latihan bebas pertama (FP1), Hakim mencatat masa terbaik 2 minit 16.709 saat untuk berada di kedudukan ke-20, ketinggalan 2.5 saat di belakang pendahulu. Namun, sesi tersebut berakhir kurang baik apabila dia terjatuh dalam tempoh lima minit terakhir.
Bagaimanapun, Hakim bangkit memperbaiki prestasi pada sesi petang apabila mencatat masa 2:15.013 saat. Walaupun peningkatan itu positif, ia masih hanya meletakkannya di kedudukan ke-20, dengan jurang 1.256 saat di belakang pelumba terpantas.
Pendahulu sesi latihan menjadi milik pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Valresa Aspar Team yang mencatat masa 2:13.757 saat, sekali gus menunjukkan tahap persaingan sengit yang perlu dihadapi Hakim.
Keputusan tersebut menyaksikan Hakim terlepas kelompok 14 terbaik, sekali gus memaksanya mengharungi sesi kelayakan pertama (Q1) hari ini.
Misi utama kini adalah untuk mendapatkan posisi grid lebih baik, dengan faktor masa dan kedudukan di litar bakal memainkan peranan penting dalam usaha mara ke Q2. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing