KOTA BHARU – Kelantan WTS FC diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Machan FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro selepas lawan mereka gagal mendaftarkan jumlah minimum pemain untuk memulakan perlawanan.
Keputusan itu disahkan oleh Amateur Football League (AFL) yang memaklumkan Machan FC tidak mempunyai skuad mencukupi bagi menghadapi perlawanan menentang wakil Pantai Timur tersebut.
Menurut kenyataan rasmi AFL, kemenangan 3-0 diberikan kepada Kelantan WTS susulan kegagalan pihak lawan memenuhi syarat asas perlawanan.
“Kelantan WTS FC diberikan kemenangan 3-0 selepas Machan FC gagal menurunkan jumlah pemain mencukupi untuk memulakan perlawanan.
“Sebarang tindakan lanjut atau hukuman tambahan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Football Association of Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu.
Keputusan tersebut membolehkan Kelantan WTS terus memberi tekanan dalam perebutan kelompok teratas liga apabila kekal memburu Kedah FA yang kini berada di tangga ketiga dengan 40 mata.
Dalam masa sama, insiden kemenangan percuma ini bukan yang pertama berlaku musim ini. Sebelum ini, UM Damansara turut diberikan kemenangan walkover selepas Seoul Phoenix gagal hadir ke perlawanan.
Malah, Perak FA juga pernah mendapat manfaat keputusan sama susulan masalah venue melibatkan Malaysian University FT di Stadium MMU.
Rentetan beberapa insiden ini dijangka menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan, pengurusan operasi serta konsistensi penganjuran dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kelantan WTS FC