HANOI – Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan skuad negara turun dengan misi jelas untuk memburu kemenangan ketika berdepan Vietnam dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut pemain pertahanan yang kini beraksi bersama Cerezo Osaka itu, pasukan negara sudah membuat persiapan rapi sepanjang minggu dan berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan penting tersebut.
“Kami ada seminggu untuk membuat persiapan. Kami tahu perlawanan menentang Vietnam sentiasa sukar, tetapi pemain-pemain cukup bermotivasi, latihan berjalan lancar dan kami bersedia untuk memberikan aksi terbaik,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Cools turut mengakui kekuatan skuad Vietnam, namun percaya Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit jika beraksi pada tahap terbaik.
“Seperti biasa, kami hormati lawan. Kami sudah menganalisis mereka dengan baik dan tahu apa yang perlu dijangkakan. Mereka ada pemain berkualiti, jadi kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menyukarkan mereka,” ujarnya.
Pemain berusia 28 tahun itu juga berharap dapat membawa prestasi baiknya di Jepun ke pentas antarabangsa bagi membantu pasukan meraih keputusan positif.
“Secara peribadi, prestasi saya di Jepun agak baik. Jadi saya harap dapat bawa pengalaman dan prestasi itu untuk membantu pasukan,” katanya.
Sebagai tonggak utama pasukan, Cools kini memainkan peranan penting bukan sahaja di atas padang, malah sebagai pemimpin kepada pemain-pemain muda dalam skuad negara.
Walaupun kempen kelayakan Malaysia berdepan cabaran, beliau menegaskan mentaliti pasukan tidak pernah berubah.
“Perkara paling penting adalah menang untuk negara. Itu sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
Malah, beliau turut menyatakan keyakinan untuk membantu dari segi jaringan sekiranya diberi peluang.
“Sebagai pemain, sudah tentu saya mahu menjaringkan gol untuk negara. Saya yakin, tetapi yang paling penting adalah kemenangan buat Malaysia,” jelasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM