Ab Ghani Hassan
KUALA LUMPUR – Presiden Malaysian Football League (MFL), Ab Ghani Hassan mengakui cabaran semakin memuncak dalam landskap bola sepak tempatan, namun optimis reformasi struktur dan kerjasama semua pihak mampu mengembalikan kestabilan jangka panjang.
Beliau berkata demikian selepas sesi meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang menyaksikan pelbagai pandangan serta cadangan dikemukakan oleh kelab-kelab dalam Liga Malaysia.
“Perbincangan kali ini penuh dengan idea dan juga kejutan apabila kelab tampil berkongsi isu serta cadangan secara terbuka,” katanya.
Menurutnya, isu utama yang dibangkitkan ialah kesihatan kewangan kelab, dengan beberapa pasukan masih bergelut dengan beban hutang lama selain kelewatan pembayaran gaji pemain.
“Sebahagian masalah bukan berpunca daripada bajet musim ini, tetapi hutang terdahulu yang masih ditanggung. Itu yang menekan kewangan mereka,” jelasnya.
Walaupun audit suku tahunan di bawah pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) telah dijalankan, beliau mengakui cabaran masih berterusan sekali gus menuntut pemantauan lebih ketat serta disiplin kewangan lebih tinggi.
Bagaimanapun, Ab Ghani yakin FFP mampu menjadi penyelesaian jangka sederhana.
“Ini musim penuh pertama FFP. Saya percaya dalam dua hingga tiga musim, kelab akan lebih stabil dan isu gaji tidak lagi menjadi masalah besar,” ujarnya.
Tambah beliau, MFL kini melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan pemantauan kewangan secara bulanan serta penglibatan terus bersama CEO kelab bagi memastikan pematuhan dan tindakan awal dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, empat teras utama dikenal pasti sebagai kunci memperkukuh bola sepak negara iaitu pembangunan pemain dan akar umbi, penambahbaikan infrastruktur (stadium, padang, lampu limpah), pertumbuhan komersial serta penajaan, dan disiplin kewangan.
Ab Ghani mengakui kelemahan dalam aspek tersebut menyumbang kepada situasi semasa, namun melihatnya sebagai peluang untuk melakukan perubahan menyeluruh.
Dari sudut sokongan penyokong, beliau mendedahkan kehadiran penonton di stadium dan tontonan keseluruhan menunjukkan peningkatan positif kebelakangan ini, namun menegaskan usaha perlu dipertingkat untuk menukar minat tersebut kepada hasil yang mampan.
“Kelab perlu lebih kreatif menarik penyokong kembali ke stadium menerusi penglibatan komuniti, penganjuran acara dan pengalaman hari perlawanan yang lebih baik,” katanya.
Antara cadangan yang turut dibincangkan ialah kemungkinan peralihan kepada model siaran berasaskan langganan bagi menjana pendapatan tambahan liga, namun perkara itu masih di peringkat kajian oleh kelab.
Mengulas kritikan terhadap pengurusan liga, beliau mengakui wujud kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kita terima ada kekurangan terutama dari segi pembangunan, infrastruktur dan disiplin kewangan. Kita akan ambil secara positif dan lakukan penambahbaikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa laporan negatif berkaitan ketidakstabilan kelab boleh menjejaskan keyakinan penaja, justeru semua pihak perlu memainkan peranan menjaga imej liga.
Walaupun berharap semua kelab bermasalah dapat bangkit, Ab Ghani menegaskan MFL tetap mempunyai pelan alternatif sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Kita sentiasa ada pelan B, tetapi harap ia tidak perlu digunakan,” katanya. – DETIK MALAYSIA