KUALA LUMPUR – Cabaran Malaysia dalam kejohanan Piala Thomas 2026 berakhir di pentas suku akhir selepas tewas 0-3 kepada kuasa besar, China, dalam aksi berlangsung di Forum Horsens, Denmark, hari ini.
Berdepan barisan mantap lawan, skuad negara cuba memberi tentangan, namun pengalaman dan kedalaman dimiliki China jelas menjadi pemisah dalam pertembungan getir itu.
Aksi pembukaan menyaksikan Leong Jun Hao mempamerkan semangat juang tinggi menentang pemain ranking dunia, Shi Yu Qi. Selepas tewas set pertama, Jun Hao bangkit mengikat kedudukan sebelum lawannya kembali menguasai set penentuan untuk menang 21-10, 16-21, 21-9.
Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir menghidupkan peluang apabila memberi tentangan sengit kepada gandingan China, Liang Wei Kang-Wang Chang.
Namun, kekalahan tipis 22-24 dalam set pertama sedikit merencatkan momentum sebelum tunduk 14-21, sekali gus menyaksikan Malaysia ketinggalan 0-2.
Harapan negara akhirnya tertutup apabila pemain muda, Justin Hoh gagal menyaingi kehebatan Li Shi Feng yang menang straight set 21-14, 21-13 untuk mengesahkan kemaraan China ke separuh akhir.
Dua lagi perlawanan membabitkan Goh Sze Fei-Tee Kai Wun serta Lee Zii Jia tidak diteruskan selepas keputusan sudah dimuktamadkan.
Meskipun langkah terhenti, kemaraan hingga suku akhir memberi gambaran skuad negara memiliki potensi, namun masih perlu meningkatkan konsistensi untuk menyaingi kelompok elit dunia.
China pula sekali lagi membuktikan status mereka sebagai antara kuasa dominan badminton dunia dengan kekuatan menyeluruh di setiap posisi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAM