KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuhkan sektor pelancongan mampan negara terus diperkasa menerusi penganjuran Bengkel Training Of Trainers Sayangi Malaysia Sustainable Tourism Programme yang berlangsung di Bilik Seminar Transformasi MPC di sini pada 11 hingga 12 Mei lalu.
Bengkel anjuran Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) itu berjaya menghimpunkan 30 peserta daripada pelbagai sektor industri pelancongan.
Peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, akademia, ejen pelancongan, pemandu pelancong, pengusaha hotel, spa, akuatik, CBT Mari-Mari Sabah serta Koperasi Homestay Teluk Ketapang.
Program tersebut bertujuan memperkukuhkan keupayaan tenaga pelatih industri pelancongan dalam merealisasikan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan.

Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Datuk Zahid Ismail menerusi TPN yang diketuai Rohizam Md Yusof turut memperkenalkan Strategic Framework For Sustainable Tourism In Malaysia sebagai panduan memperkasakan industri pelancongan negara secara lestari.
Menurut penganjur, Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-84 daripada 167 negara dalam pencapaian SDG bagi tahun 2023.
Dalam pada itu, TPN Champion dengan kerjasama Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia (MOTAC) serta UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei turut memperkenalkan inisiatif Sayangi Malaysia: Strategic Framework For Sustainable Tourism In Malaysia.
Inisiatif tersebut menekankan lima aspek utama iaitu perlindungan alam sekitar, pemeliharaan warisan, amalan budaya, kemakmuran komuniti dan pembangunan ilmu pengetahuan.
Sementara itu, Wakil Residen UNDP, Edward Vrkic berharap hasrat Malaysia untuk muncul sebagai A Great Tourism Nation dapat direalisasikan menerusi sokongan kerajaan serta semua pemegang taruh industri pelancongan negara. – DETIK MALAYSIA