SHAH ALAM – Isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) perlu ditangani berpandukan Dasar Pendidikan Negara, Perlembagaan Persekutuan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan tanpa dipengaruhi tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.
PresIden TERAS Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, negara tidak boleh mengorbankan asas pembinaan negara bangsa hanya kerana mahu memenuhi kehendak kelompok tertentu.
Menurut beliau, kerangka pendidikan negara dibina bagi menyatukan rakyat melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sejarah nasional dan nilai kenegaraan yang sama.
Katanya, mana-mana sistem pendidikan yang mahu mendapat pengiktirafan rasmi atau laluan khas ke institusi pengajian awam perlu selari dengan kerangka nasional sedia ada.
“Kerajaan tidak perlu mewujudkan laluan khas untuk UEC kerana ia boleh menjadi precedent berbahaya kepada sistem pendidikan negara secara keseluruhan.
“Jika ruang pengecualian dibuka kepada satu aliran pendidikan di luar sistem nasional, ia akhirnya boleh melemahkan integrasi nasional selain menghakis kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadilan juga perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta mematuhi syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurutnya, tidak wajar wujud dua standard berbeza dalam kemasukan ke institusi awam yang dibiayai rakyat dan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penguasaan Bahasa Melayu serta kefahaman sejarah negara bukan sekadar formaliti pentadbiran, sebaliknya menjadi asas pembentukan identiti nasional, kesetiaan kepada negara dan perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Tambah beliau, Mapim mengiktiraf hak masyarakat mempelajari bahasa ibunda dan mengurus pendidikan komuniti masing-masing, namun pengiktirafan terhadap kepelbagaian tidak bermaksud dasar teras pendidikan kebangsaan perlu dikorbankan.
“Antara perkara yang perlu diperkasakan ialah memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan supaya lebih berkualiti dan diyakini semua kaum.
“Selain itu, semua aliran pendidikan perlu menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menyatukan rakyat melalui kurikulum sejarah dan kenegaraan yang seragam,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar politik pendidikan yang boleh mencetuskan polarisasi masyarakat dielakkan demi menjaga perpaduan nasional.
“Malaysia memerlukan satu dasar pendidikan yang memperkukuh perpaduan nasional, bukannya membuka lebih banyak jurang pemisahan sosial dan identiti.
“Pendidikan mesti menjadi jambatan penyatuan rakyat, bukan medan kompromi politik yang akhirnya melemahkan asas negara bangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAANA AI