KUALA LUMPUR – Ketika berjalan di lorong-lorong buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 semalam, bagaikan memasuki dunia yang berbeza.
Ribuan pengunjung memenuhi ruang di World Trade Centre Kuala Lumpur sambil membawa beg sarat dengan novel, buku ilmiah, komik dan karya motivasi.
Suasana meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi bertemu penulis, pelancaran buku serta persembahan pentas yang menjadikan pesta ini lebih daripada sekadar tempat membeli buku.
PBAKL 2026 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Lebih 200 penerbit dan penjual buku tempatan serta antarabangsa mengambil bahagian menerusi lebih 1,200 reruai yang menawarkan pelbagai genre bacaan untuk semua peringkat umur.
Di sebalik kesibukan orang ramai memilih buku, jelas kelihatan budaya membaca masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan masyarakat.
Ada yang datang bersama keluarga, ada yang memburu diskaun besar-besaran, manakala sebahagian lagi sanggup beratur panjang demi mendapatkan tandatangan penulis kegemaran mereka.
Pesta buku ini terus menjadi medan pertemuan pencinta ilmu dan membuktikan bahawa buku masih relevan dalam era digital hari ini. – DETIK MALAYSIA