KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) giat memperkemaskan persiapan bagi penganjuran Southeast Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Ogos depan.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), UniSZA semalam dan dipengerusikan Pengarah PUSPA, Dr. Sharifah Wafi.
Turut hadir wakil Pusat Antarabangsa UniSZA, Fakulti Komunikasi dan Bahasa serta Fakulti Sains Sosial Gunaan.
Dr. Sharifah berkata, semua persiapan bagi menjayakan program berkenaan berjalan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
“Program ini bukan sahaja menjadi platform menguji kecemerlangan akademik pelajar, malah mengukuhkan hubungan pendidikan dan budaya antara negara-negara serantau.
“Penganjuran turut melibatkan pelbagai fakulti dan agensi bagi memastikan perjalanan program berlangsung dengan teratur serta memberi pengalaman bermakna kepada peserta,” katanya.

Bagi kategori sekolah rendah (Elementary School), peserta akan menyertai Ujian Kemahiran Bahasa Inggeris, Ujian Matematik, pertandingan bercerita, pidato Bahasa Inggeris serta Sustainable Tourism Workshop.
Sementara itu, kategori sekolah menengah rendah (Junior High School) merangkumi Ujian Kemahiran Bahasa Inggeris, Ujian Matematik, pertandingan bercerita, pidato Bahasa Inggeris, pidato Bahasa Arab dan hafazan al-Quran bagi Juzuk 1 hingga 5.
Menurut KHTK, setakat ini seramai 100 murid kategori sekolah rendah dan 350 pelajar kategori sekolah menengah rendah dari Malaysia, Thailand dan Indonesia telah mengesahkan penyertaan.
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu turut menyelaras lawatan peserta dan guru luar negara ke beberapa sekolah terpilih, manakala Pusat Antarabangsa UniSZA akan mengadakan sesi promosi universiti kepada delegasi antarabangsa yang hadir.

Majlis perasmian program dijadual disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, manakala majlis penutup dan penyampaian pingat akan disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA.
Kesemua peserta luar negara akan ditempatkan di homestay dan kampung inap di Teluk Ketapang sepanjang berlangsungnya program tersebut. – DETIK MALAYSIA