KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla yang membawa sukarelawan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau menegaskan, kapal-kapal tersebut sarat dengan orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa, namun telah berdepan intimidasi dan paksaan daripada rejim Israel.
“Dengan menghalang misi kemanusiaan ini, Israel telah menunjukkan penghinaan bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, malah terhadap hati nurani dunia. Flotilla ini melambangkan solidariti, kasih sayang serta harapan buat mereka yang terkepung,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan segala cara yang sah serta berlandaskan undang-undang untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, terutama dalam hal melibatkan keselamatan rakyat Malaysia.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia diperkotak-katikkan tanpa pembelaan,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan cita-cita mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama perjuangan Palestin.
“Kita tidak akan berhenti menuntut keadilan dan menentang kezaliman serta perampasan hak yang menimpa Palestin sejak sekian lama,” ujarnya. - DETIK MALAYSIA