JAKARTA – Pemain Thailand, Suteepat Prateeptienchai memberi amaran awal pada kejohanan Jakarta International Championship apabila muncul pendahulu kelab selepas menamatkan pusingan pertama dengan catatan cemerlang tujuh bawah par 63 hari ini.
Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini menjuarai Mandiri Indonesia Open pada Ogos lalu dengan catatan 64 pukulan pada hari terakhir, dan sekali lagi mempamerkan prestasi hebat di bumi Indonesia dengan melakukan lapan birdie dan satu bogey.
Tiga pemain berkongsi tempat kedua dengan catatan 64 pukulan iaitu wakil Australia, Wade Ormsby, pemain Chinese-Taipei, Chang Wei-lun dan Roberto Lebrija dari Mexico di lapangan Damai Indah Golf – PIK Course.
Sementara itu, seorang lagi pemain Thailand, Pavit Tangkamolprasert, berada di kedudukan enam bawah selepas 16 lubang sebelum permainan terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk pada sebelah pagi.
Gangguan selama sejam 20 minit itu menyebabkan 117 pemain perlu menamatkan pusingan pertama awal pagi esok.
Suteepat yang kini berada di kemuncak keyakinan selepas dua aksi konsisten di Chinese-Taipei berkongsi tempat ketujuh di Yeangder TPC dan keempat di Mercuries Taiwan Masters minggu lalu mengakui segalanya berjalan lancar.
“Hari ini saya bermain sangat baik, semuanya sempurna. Saya banyak melakukan putt penting, yang terpanjang kira-kira tujuh ela,” katanya.
Beliau turut memuji sokongan kaddie yang yakin dengan keupayaannya menguasai lapangan kali ini.
“Kaddie saya kata saya boleh mendahului di sini kerana padang ini sesuai dengan permainan saya. Fairway tidak terlalu sempit tetapi green agak keras, jadi bola perlu tepat di fairway untuk mengawal spin,” jelasnya.
Kejayaan di Indonesia Ogos lalu merupakan kemenangan keempatnya dalam Jelajah Asia (Asian Tour) tetapi pertama di luar Chinese-Taipei.
Tahun lalu, beliau menamatkan cabaran di tempat keenam bersama pada Indonesia Open.
Dalam pada itu, Ormsby hampir berkongsi pendahuluan namun terlepas selepas terjatuh satu pukulan di lubang terakhir.
“Ia satu permulaan baik walaupun sedikit cacat di penghujung. Mujur saya berjaya menyelamatkan bogey dari jarak 45 ela,” katanya yang sebelum itu mencatat tujuh birdie tanpa bogey.
Lebrija pula muncul antara pencabar mengejut. Pemain Mexico itu sebelum ini bergelut musim ini walaupun berjaya menembusi Qualifying School 2025, namun prestasinya kembali meningkat sejak Ogos dengan dua penamat 15 terbaik di Asian Development Tour di Indonesia.
“Sebenarnya saya bernasib baik dengan gangguan pagi tadi. Ia beri peluang untuk berehat sebentar dan kembali lebih segar,” katanya.
Turut mencuri tumpuan ialah pemain Filipina, Miguel Tabuena yang berada dalam kelompok pemain dengan catatan 65 pukulan. - DETIK MALAYSIA