JOHOR BAHRU, 8 Jun -- Setiausaha Agung Barisan Nasional yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berucap dan merasmikan Penutup Konvensyen Barisan Nasioanl Negeri Johor 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berdiri teguh menyatakan solidariti bersama sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Zionis Israel ketika dalam misi kemanusiaan ke Gaza.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, BN menyelar sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang menahan sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia, sedangkan misi tersebut membawa mesej keamanan serta bantuan kemanusiaan.
“Misi flotilla ini sah di sisi undang-undang antarabangsa kerana bertujuan membawa bantuan, sokongan moral dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus ditindas dan dikepung secara tidak adil di Gaza.
“Tindakan menahan sukarelawan jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang maritim antarabangsa serta norma kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Zambry, BN menegaskan tiga perkara utama iaitu menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas termasuk menggunakan saluran antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera semua rakyat Malaysia yang ditahan.
"Kedua, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta komuniti antarabangsa didesak tidak terus berdiam diri sebaliknya mengambil langkah segera mendesak Israel membebaskan semua sukarelawan tanpa syarat.
“Ketiga, negara-negara sahabat khususnya dalam kalangan OIC, ASEAN dan blok Non-Aligned Movement (NAM) perlu menyuarakan solidariti serta menggerakkan tekanan politik dan diplomatik terhadap rejim Zionis,” ujarnya.
Beliau berkata, semangat solidariti kemanusiaan tidak akan dipatahkan oleh penindasan.
“Apa yang dilakukan sukarelawan flotilla adalah manifestasi keberanian, keinsanan dan keadilan sejagat yang wajar dihormati, bukan ditekan.
“BN menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sukarelawan agar dibebaskan segera. BN juga akan terus berdiri bersama rakyat Palestin serta semua pejuang kemanusiaan yang berjuang demi kebebasan Gaza,” katanya. - DETIK MALAYSIA