KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa memberikan penjelasan mengenai status siasatan yang pernah melibatkan beberapa pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sekitar April dan Mei 2024.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, rekod awam dan laporan media menunjukkan beberapa pegawai kanan KADA pernah ditahan dan direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menghormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan tindakan ditahan, direman atau disiasat tidak bermaksud individu terbabit melakukan kesalahan.
“Namun, setelah lebih dua tahun berlalu, timbul persoalan berkepentingan awam mengenai status sebenar siasatan berkenaan dan keputusan yang telah dibuat oleh institusi berkaitan.
“SPRM juga diharapkan dapat menjelaskan sama ada kertas siasatan telah diselesaikan, dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya, diarahkan untuk siasatan lanjut, diputuskan tiada tindakan lanjut atau masih dalam pertimbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KPKM dan KADA juga sewajarnya menjelaskan aspek tadbir urus berkaitan proses yang membolehkan pegawai yang pernah dikaitkan dengan siasatan itu kembali menjalankan tugas.
“MCW tidak mempersoalkan hak mana-mana individu untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Yang dipersoalkan ialah status proses, apakah hasil siasatan yang telah dijalankan dan apakah keputusan institusi berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, MCW berkata pihaknya turut menerima beberapa maklumat mengenai dakwaan salah laku dan kemungkinan campur tangan pihak tertentu.
Bagaimanapun, Jais menegaskan pihaknya tidak akan mengangkat khabar angin sebagai fakta.
“Setakat ini, MCW belum mempunyai bukti bebas yang mencukupi untuk mengesahkan dakwaan mengenai jumlah kes tertentu atau dakwaan bahawa mana-mana parti politik atau individu menghalang proses penyiasatan atau pendakwaan.
“Sekiranya terdapat bukti mengenai campur tangan terhadap proses penguatkuasaan, perkara itu amat serius dan perlu disiasat secara bebas. Namun, tuduhan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan andaian atau khabar angin,” katanya.
MCW turut menyeru SPRM, Jabatan Peguam Negara, KPKM dan KADA memberikan penjelasan yang boleh didedahkan kepada masyarakat tanpa menjejaskan kerahsiaan mana-mana siasatan.
Katanya, ketelusan mengenai status sesuatu siasatan penting bukan sahaja untuk kepentingan awam, malah bagi melindungi reputasi individu yang pernah disiasat sekiranya mereka sebenarnya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku.
“Perjuangan menentang rasuah mesti berasaskan bukti, keberanian dan keadilan, bukan khabar angin atau kepentingan politik,” katanya. – DETIK MALAYSIA
