KUALA LUMPUR – Melaka FC meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super Malaysia 2026/27 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.
Gol kemenangan skuad Hang Tuah hadir pada penghujung masa kecederaan menerusi Christian yang menyudahkan hantaran Kpah Sherman untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.
Kemenangan itu lebih manis buat Melaka selepas mereka bangkit daripada ketinggalan dan memanfaatkan kelebihan pemain apabila Negeri Sembilan terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-52.
Pada aksi tersebut, Negeri Sembilan yang dikendalikan Daniel Gimenez tampil dengan beberapa pemain berstatus antarabangsa Malaysia termasuk penjaga gol Azri Ghani, kapten Khuzaimi Piee dan Akhyar Rashid.
Melaka pula mempertaruhkan pengalaman penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, manakala Kpah Sherman mengetuai jentera serangan.
Negeri Sembilan mengawal sebahagian besar permainan pada awal perlawanan sebelum mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-20.
Penyerang Jepun, Yusuke Minagawa menyudahkan hantaran rakan senegaranya, Mio Tsuneyasu yang terlebih dahulu melakukan gerakan menarik untuk membuka ruang.
Gol tersebut meletakkan Negeri Sembilan di depan 1-0.
Melaka bagaimanapun tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila Noel Agbre menanduk masuk hantaran sepakan sudut Do Dong Hyun pada minit ke-33 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama walaupun Akhyar Rashid hampir menambah jaringan buat Negeri Sembilan.
Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan menerima tamparan hebat apabila Khuzaimi Piee dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-52 selepas melakukan kekasaran terhadap Kpah Sherman.
Pengusiran kapten Negeri Sembilan itu menyebabkan skuad Jang terpaksa meneruskan aksi dengan 10 pemain.
Daniel Gimenez kemudian melakukan dua pertukaran empat minit selepas itu dengan memasukkan Wai Lin Aung dan Kei Oshiro bagi mengimbangi semula corak permainan pasukannya.
Meskipun beraksi kurang seorang pemain, Negeri Sembilan bertahan dengan cukup baik dan dilihat mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Namun, Melaka terus meningkatkan tekanan sehingga akhirnya memperoleh gol kemenangan pada penghujung masa kecederaan.
Kpah Sherman bijak mencari ruang sebelum melorongkan bola ke dalam kawasan penalti untuk disambar Christian yang pantas bertindak menyempurnakan peluang tersebut.
Jaringan itu memastikan Melaka FC mencatat kemenangan 2-1 sekali gus mengutip tiga mata pertama dalam kempen Liga Super musim ini.
Kemenangan tersebut turut menjadi respons terbaik Melaka selepas mereka tewas 0-3 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan sebelum ini.
Bagi Negeri Sembilan pula, kekalahan itu pastinya mengecewakan selepas memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan, terutama ketika beraksi dengan 10 pemain.
Negeri Sembilan selepas ini akan menumpukan perhatian kepada aksi Piala FA Malaysia 2026/27 menentang Kelantan City pada pusingan 16 terakhir.
Melaka FC pula akan menentang Penang FC dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala FA pada 2 September ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC
